
UniMAP bina rumah mesra OKU
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah membina sebuah Rumah Lestari Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) selaras dengan cogan kata ‘UniMAP for Society’.
Pembinaan ini melibatkan gabungan kepakaran penyelidik dan pelajar daripada semua fakulti di UniMAP yang terdiri daripada enam fakulti iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK), dan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) melalui Akademi Binaan Malaysia (ABM).
Rumah Lestari ini berkonsepkan mesra OKU yang dilengkapi dengan aplikasi Internet Pelbagai Benda (IoT) untuk suis lampu yang dikawal menggunakan telefon pintar dengan penambahan ‘ramp’ dan ‘railing’ serta menitikberatkan kedudukan binaan bilik dan bilik air yang dibina dalam tempoh 30 hari.
Pembinaan ini mempunyai ciri rumah hijau seperti Rainwater Harvesting System dan Solar untuk lampu dengan saiz keluasan pembinaan 750 kaki persegi menggunakan Industrialized Building System (IBS) precast lightweight sandwich panel yang menjimatkan masa dan sumber. Kaedah pembinaan adalah secara modular, di mana berat panel IBS 3 kali lebih ringan daripada dinding bata.
Rumah Lestari ini dibina khas untuk seorang ibu tunggal, Nur Hidayatul Omar, 35 tahun yang mempunyai dua anak iaitu Muhammad Haziq Hakimi, 16 tahun yang merupakan OKU dan adiknya Nur Hafya Humaira yang berusia 13 tahun.
Maklumat tersebut dipersembah maklumkan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selepas Baginda berdua mengadakan kunjungan ke rumah berkenaan dan seterusnya menghadiri majlis santapan malam yang diadakan di Tasik Alumni, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra baru-baru ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik memotong kek sempena Hari Ulangtahun Keputeraan Baginda yang ke-57.
Terdahulu daripada itu Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Canselor dan Tuanku Raja Puan Muda telah berkenan betangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 300 orang mahasiswa universiti berkenaan dari golongan keluarga asnaf yang berasal dari seluruh pelusuk negara di Surau UniMAP Kampus Alam Pauh Putra. Masing-masing menerima RM300 dengan jumlah penuh RM90,000 disumbangkan oleh MAIPs pada sesi kali ini.