Ekonomi

Isu FGV heret PH senasib BN?

 

Analisis

HARI ini Lembaga Pengarah FELDA dilaporkan akan menemui Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, dengan agenda utamanya berhubung pengambilalihan dalam Felda Global Venture (FGV).

Isu FGV pada era sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dikatakan antara punca penyebab kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang. Rentetan itu sekali gus menyaksikan Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei 2018 meraih sokongan undi daripada peneroka selepas memenangi 19 kerusi di 54 kawasan FELDA.

Kerana itu, ada kalangan mereka dalam PH percaya gabungan parti-parti kerajaan hari ini (PKR, DAP, Bersatu dan Amanah) akan terjatuh dalam lubang sama BN tersungkur andai kata isu FGV tidak dikendalikan dengan sempurna.

Semalam, Dr. Mahathir membayangkan kerajaan tidak menolak kemungkinan menjual FGV kepada tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berikutan hutang yang ditanggung syarikat itu terlalu besar.

Related Articles

Realitinya, Perdana Menteri berpijak di bumi nyata. FELDA diyakini beliau tidak akan mampu menguruskan FGV kerana syarikat itu hanya mencatatkan keuntungan ketika di era Tan Sri Raja Muhammad Alias menjadi pengerusi.

Semasa dulu peneroka FELDA agak mewah kehidupan mereka. Perniagaan FELDA boleh catat keuntungan hingga RM1 bilion. Tetapi kini cuma kira-kira RM250 juta setahun.

Semasa FGV dilancarkan, sahamnya bernilai lebih RM4. Namun hari ini nilainya hanya kira-kira RM1. Maka sebab itu harus dicari jalan mendapatkan kembali wang untuk membantu mereka yang membeli saham FGV termasuk peneroka FELDA sendiri.

Sesiapa pemimpin dalam parti-parti sekutu PH hari ini harus realistik dan berfikiran terbuka. Ya, suatu ketika FELDA mempunyai aset dan simpanan yang besar namun sehingga hari ini hutangnya mencecah RM8 bilion.

Hakikatnya, menjadi kebiasaan hartanah dijual kepada pihak swasta yang mampu membangunkannya. Ini sekali gus memberi pulangan kewangan kepada kerajaan.

Datuk Mazlan Aliman dari Parti Amanah yang membantah pengambilalihan FGV oleh pihak ketiga haruslah mengambil pendekatan positif isu ini.

Jika isu FGV tidak diselesaikan, PH sehingga PRU-15 akan `terpalit’ dengan penolakan undi daripada peneroka FELDA.

Mazlan pasti maklum bahawa undi masyarakat FELDA diakui memainkan peranan besar untuk kemenangan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya. Kehadiran generasi baharu sudah mengubah iklim politik peneroka, menjadikan kawasan Felda tidak boleh dianggap hak mutlak mana-mana parti.

Selain 54 kerusi Parlimen sedia ada, dalam FELDA turut meliputi 92 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Tanah rancangan orang Melayu itu mempunyai 317 kawasan penempatan peneroka. Felda Plantation sahaja memiliki tanah seluas 341,000 hektar, majoriti di Sabah dengan keluasan 100,000 hektar.

Di Pahang sahaja yang masih dikuasai terajunya kerajaan negeri BN, sejumlah 12 daripada 14 kawasan Parlimen di negeri itu adalah penempatan Felda. Kerusi-kerusi DUN nya pula merekodkan 27 daripada 42 kawasan adalah Felda. Di Johor pula, terdapat banyak tanah rancangan tersebut.

Semasa pentadbiran BN yang lepas, Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak melayan bagai ‘sang puteri’ FELDA. Kerajaan BN begitu komited memberi suntikan baharu terhadap pembangunan modal insan dan pelaburan di FELDA.

Tetapi hari ini di bawah kerajaan PH, tidak kedengaran lagi bantuan tanam semula antara RM9,320 hingga RM14,000 sehektar (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) seperti yang dinikmati pekebun kecil sebelum ini.

Tidak banyak khabar gembira mengenai skim rancangan pemilikan tanah kebun atau skim pemulihan tanah melibatkan peneroka. Menteri-menteri pun jarang liputan mereka turun padang di kawasan Felda dilaporkan di kaca televisyen dan media sosial.

Justeru, adalah berisiko untuk FGV diserahkan kembali kepada FELDA kerana agensi itu juga telah rugi.

Apakah nama tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary disahkan sebagai pembeli atau pemilik FGV dalam pertemuan Lembaga Pengarah FELDA dengan Perdana Menteri hari ini?

– SUARA MERDEKA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button