Berita

Dr. Mahathir pertahan Redzuan, istilah sebenar `super drone’

Komentar

DI Langkawi semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah pun meminta rakyat Malaysia terutama parti pembangkang memperbetulkan persepsi mereka berhubung istilah projek dron besar – di bawah pemudah cara Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) diketuai Datuk Mohd Redzuan Yusof.

 

Hanya kerana kekeliruan isu istilah, projek dron tersebut dikritik hebat oleh pembangkang sehingga sering diuar-uarkan mereka sebagai `kereta terbang’.

Padahal, kata Perdana Menteri, istilah sebenarnya adalah dron besar atau super drone (air mobility) yang boleh membawa penumpang.

Ditemui selepas majlis ramah mesra bersama Ketua Jabatan dan pimpinan Pakatan Harapan Parlimen Langkawi di Dewan Tan Sri Azizan Razak, Kuah itu, Dr. Mahathir dilihat mempertahankan Mohd Redzuan dalam membangunkan projek super drone berkenaan.

“Rakyat tak nak, tak payahlah, kenapa nak paksa. Ini satu idea, kalau orang suka terima, tak suka tak payah terima,” kata Perdana Menteri.

Kita akui, mana-mana pembaharuan di sesebuah negara biasanya akan menempuh kritikan daripada pembangkang di negara berkenaan. Tetapi tidaklah seteruk penangan pembangkang di Malaysia, yang akan sentiasa memperlekeh atau memutarbelitkan kebaikan dan manfaat sesuatu pembaharuan.

Namun bak kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad, Menteri yang mengetuai MED, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof sebelum ini pun telah membetulkan istilah `kereta terbang’ berkenaan kepada super dron. Malangnya dek terikut-ikut propaganda parti pembangkang, mereka dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) peliknya turut menghentam rakan sendiri.

Memasuki tahun baharu 2020 tidak sampai sebulan ini yang penuh cabaran getir dalam daya saing kerajaan untuk meletakkan kembali ekonomi negara di landasan kukuh, pembangkang terutamanya haruslah bersikap terbuka dan positif kepada sebarang idea pembaharuan.

Lagipun dalam projek dron besar (super drone) ini, MED hanya menjadi pemudah cara dalam pembangunan ekosistem industri terutama dalam aspek sokongan industri dan kapasiti syarikat tempatan dalam membangunkan industri ini.

Kerajaan atau MED sendiri tidak memberikan sebarang dana dalam projek super drone ini dan ia adalah 100% dibiayai oleh syarikat tempatan tersebut iaitu Aerodyne Ventures Sdn Bhd (AVSB).

Seperti yang dinyatakan juga oleh Kamarul A Muhamed iaitu pemilik syarikat AVSB, tiada dana langsung diberikan oleh kerajaan untuk projek Air Mobility ini. Malah, AVSB turut mengalu-alukan sebarang audit untuk projek tersebut.

Juga, MED bekerjasama dengan syarikat-syarikat lain dalam sektor yang sama. Bukan hanya AVSB. Sebab itu, MED hadir memberi sokongan kepada syarikat tempatan lain seperti EastCap Bhd (syarikat tempatan yang sedang bekerjasama dengan EHang Intelligent Equipment) untuk memasar, menjalankan operasi dan perkhidmatan serta penyelenggaraan super dron di negara ini.

Dalam hal ini, ramai juga yang keliru dan menyangka EastCap Bhd adalah syarikat yang mengeluarkan super dron pertama anak tempatan. Walhal, tidak sama sekali. Yang betul dan dimaksudkan itu adalah Aerodyne Ventures Sdn Bhd.

Bahkan, dalam projek super drone ini, MED menyokong dan memudahcara pembangunan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berinovasi tinggi, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) di bawah Teras Strategik 5 bagi memperluas sektor berpotensi utama dalam industri pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, automatif, rel, tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan, bioteknologi dan industri halal.

-SUARA MERDEKA

(Visited 50 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button