PolitikPRK

Selepas tewas di Tanjung Piai, Bersatu mahu bertanding di Kimanis

SELEPAS caponnya tewas dengan majoriti 15,000 undi di pilihan raya kecil (PRK) parlimen Tanjung Piai, kini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menawarkan diri untuk meletakkan calonnya di PRK Kimanis pula.

Bersatu Sabah berharap pimpinan Pakatan Harapan (PH) pusat dapat mempertimbangkan untuk meletakkan calon parti itu bertanding bagi PRK Parlimen Kimanis nanti.

Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Kimanis adalah antara bahagian Bersatu yang paling aktif di Sabah dengan pelbagai program “outreach” telah dilaksanakan oleh kepimpinan bahagian itu sejak Bersatu bertapak di Sabah.

“Bersatu antara parti komponen PH yang terbesar di Sabah, dari segi bilangan wakil rakyat, Bersatu adalah kedua terbanyak di Sabah selepas parti Warisan.

“Bagi memperlihatkan kekuatan Bersatu di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Kimanis, pucuk pimpinan PH harus memberi peluang kepada Bersatu bertanding di kerusi Kimanis dalam PRK kali ini,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu.

Ronald berkata Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor juga menzahirkan hasrat dan keputusan badan itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu dalam pertemuan baru-baru ini.

Bagaimanapun Bersatu Sabah tetap akan akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan PH Pusat.

“Siapa juga calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan PH untuk bertanding di PRK Parlimen Kimanis, kita akan akur dan sokong,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Kimanis Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bahagian itu telah bersedia dan akan memikul amanah jika diberikan peluang.

“Bersatu Kimanis juga akan menyokong dan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada mana-mana parti dari PH yang dipilih bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis.

Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas. – BERNAMA

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button