NasionalParlimen

Isu darurat: Agong bertindak ikut nasihat kerajaan

BEKAS Hakim Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, sama ada darurat ditamatkan atau Parlimen bersidang semula, Perlembagaan jelas menetapkan kerajaan boleh buat keputusan.

Beliau berkata, sebarang keputusan untuk menamatkan perintah darurat sememangnya terletak di tangan kerajaan pada ketika ini, katanya.

Gopal Sri Ram yang juga merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata demikian ekoran timbul semula perbahasan mengenai kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya lagi, Agong tidak memiliki kuasa budi bicara melainkan dalam tiga perkara iaitu pelantikan perdana menteri, pembubaran Parlimen dan penganjuran mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

“Tiga perkara budi bicara ini jelas termaktub dalam Artikel 40(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Hanya dalam tiga perkara ini sahaja Agong memiliki budi bicara. Perkara-perkara lain, baginda harus bertindak mengikut nasihat Kabinet,” jelasnya.

Gopal Sri Ram juga menjelaskan, sebahagian ahli politik dan sekutu-sekutu mereka yang berada dalam dunia perundangan yang mengatakan Agong memiliki kuasa menetapkan persidangan semula sesi Dewan Rakyat, beliau menegaskan, tidak ada peruntukan kuasa sedemikian.

“Tiada pilihan lain. Agong mesti bertindak mengikut nasihat Kabinet. Itu menjawab semua persoalan anda,” kata Gopal Sri Ram dengan jelas.

Beliau merujuk Artikel 40 dalam Perlembagaan yang menyebut Agong akan bertindak “mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri”.

“Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu,” kata dalam klausa 1A Artikel 40 dalam Perlembagaan.

Gopal Sri Ram juga berkata, dalam isu kuasa Agong untuk melanjutkan darurat, prinsip Perlembagaan tersebut turut terpakai dan semuanya dikawal oleh Kabinet.

Katanya lagi, tidak ada persoalan mengenai keabsahan undang-undang darurat yang dikuatkuasakan ketika ini walaupun proses Parlimen tidak berjalan.

Foto dari Facebook Wee Ka Siong

Ini merupakan responsnya terhadap rungutan menggunakan Artikel 150 (3) yang mengatakan proklamasi darurat mesti dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak dituruti.

Katanya, sebarang proklamasi perlu dibentangkan di Parlimen mengikut Perlembagaan hanya apabila ia bersidang.

“Jadi apabila sidang Parlimen ditangguhkan, darurat boleh diteruskan,” tambahnya.

Pandangan Gopal Sri Ram ini sebagai memberi pencerahan berkenaan pelbagai cadangan ahli politik berhubung usaha membendung virus Covid-19 susulan keputusan Agong untuk bertemu pemimpin parti-parti politik baru-baru ini.

Proklamasi darurat diisytiharkan pada Januari lalu selepas peningkatan mendadak kes Covid-19.

Disebabkan blok pembangkang tidak memiliki angka majoriti untuk menubuhkan kerajaan, langkah itu boleh menyebabkan berlakunya pilihan raya mengejut, sebuah senario yang beberapa kali diberikan amaran Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah agar dielakkan.

Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu, kes Covid-19 terus meningkat.

Ledakan wabak itu menyebabkan kerajaan bersetuju untuk mengambil langkah lebih ketat dengan mengenakan sekatan pergerakan penuh bulan lalu bagi mengurangkan tekanan petugas kesihatan dan fasiliti hospital di seluruh negara. – SM

(Visited 321 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button