Isteri pegawai Polis mengaku bersalah dera pembantu rumah sehingga maut
Isteri kepada seorang pegawai polis Singapura mengaku telah mendera secara fizikal dan tidak memberi makan kepada pembantu rumahnya dari Myammar sehingga dia kebuluran dan akhirnya meninggal dunia.
Gaiyathiri Murugayan, 40, mengaku bersalah di mahkamah Singapura pada Selasa lalu atas 28 tuduhan termasuk pembunuhan dengan bukti yang jelas terhadap pembantu rumahnya, Piang Ngaih Don.
Piang, 24, yang mula bekerja untuk Gaiyathiri pada tahun 2015 dan merupakan pekerjaan pertamanya bekerja di luar negara meninggal dunia pada bulan Julai 2016 setelah dia berulang kali didera majikannya dan ibu kepada majikannya itu.
Menurut laporan media tempatan yang memetik prosiding mahkamah, Gaiyathiri mula melakukan penderaan ke atas Piang sejak Oktober 2015 setelah mendakwa Piang seorang yang “lambat, kotor dan makan terlalu banyak”.
Rakaman CCTV dari kamera yang dipasang di dalam rumah menunjukkan penderaan yang dialami oleh Piang pada bulan terakhir sebelum dia meninggal dunia bahkan dia kerap dipukul beberapa kali dalam sehari.
Gaiyathiri juga dilaporkan mendera pembantu rumahnya dengan mencucuhnya dengan seterika baju yang panas dan memperlakukannya seperti patung mainan.
Malah, mahkamah juga mendapati bahawa Piang sering diberi makan seperti roti yang direndam dalam air, makanan sejuk dari peti sejuk, dan hanya sedikit nasi sehingga memiliki berat badan hanya 24 kilogram.
Laporan autopsi kemudian mendapati Piang meninggal dunia akibat kekurangan oksigen di bahagian otaknya akibat dicekik berulang-ulang kali.
Pendakwa raya memberikan hukuman penjara seumur hidup untuk Gaiyathiri, namun peguam bela meminta hukuman dikurangkan dengan mendakwa Gaiyathiri menderita kemurungan pada ketika itu dan dia didiagnosis dengan gangguan personalitI obsesif kompulsif atau obsessive compulsive personality disorder (OCPD).
Manakala, suaminya yang merupakan pegawai polis, Kelvin Chelvam, dan ibunya juga menghadapi banyak tuduhan.
Laporan media tempatan mengatakan bahawa Kelvin digantung kerja pada tahun 2016.
Sementara itu, pada Rabu lalu, Menteri Tenaga Manusia Singapura, Josephine Teo memberitahu media bahawa keadaan Piang tidak didapat dikesan walaupun dia menerima lawatan dan pemeriksaan oleh doktor dan diperiksa oleh agensi pekerjaannya.
Malah menurut Teo lagi, pernah dalam satu pemeriksaan, doktor melihat lebam yang dialami oleh Piang namun majikannya mendakwa bahawa mangsa sering jatuh.
Kes ini adalah antara siri kes penderaan pembantu rumah yang berprofil tinggi di negara-negara membangun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Singapura memiliki sekitar 250,000 pembantu rumah asing, yang biasanya dari negara-negara seperti Indonesia, Myanmar atau Filipina.