Kekusutan seorang suri rumah memikirkan masa depan menyara lapan anaknya selepas kematian suaminya baru-baru ini terlerai apabila dia menerima Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Suri rumah itu Siti Suryati Sani, 41, berkata, pencen yang diterima secara bulanan sebanyak RM1,775.42 sangat melegakan untuk menyara hidupnya selepas suaminya Khirul Azlizam Mohamed @ Mohamed Daud, 41, meninggal dunia akibat masalah jantung di Hospital Melaka, 26 Mei lalu.
Menurutnya, wang tersebut sekurang-kurangnya dapat menyara hidupnya termasuk membiayai enam daripada lapan anaknya yang masih bersekolah berusia antara 11 bulan hingga 15 tahun.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Perkeso yang segera tampil membantu saya menerima Pencen Penakat yang sekurang-kurangnya dapat meringankan beban saya.
“Kehidupan saya sangat tertekan selepas suami meninggal dunia akibat masalah jantung baru-baru ini. Saya hilang tempat bergantung kerana segalanya ditanggung arwah suami.
“Kini saya dan anak-anak terpaksa keluar dari rumah sewa yang kami duduki di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam kerana sewa tertunggak selama 10 bulan keseluruhan berjumlah RM4,000.
“Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa berpindah ke rumah ibu yang terletak tidak jauh dari rumah sewa saya diami dan di sinilah saya memulakan hidup baru membesarkan lapan anak,” ujarnya ketika ditemui di rumah emaknya di Taman Sutera Wangi di sini hari ini.
Dia ditemui selepas didatangi Skuad Perkeso Prihatin menyerahkan cek Pencen Penakat berjumlah RM1,775.42 yang telah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Ngwe Hee Sem.
Turut hadir Pengarah Perkeso negeri, Abd. Razak Omar.
Lapan anaknya ialah Nur Zahraa Dhaniyah, 15; Muhammad Aqil Dhiyauddin, 14; Muhammad Amsyar Zharfan, 10; Nur Athiyyah Darwisyah, 9; Muhammad Aryan Iskandar, 8; Muhammad Anas Auzaie, 6; Muhammad Nurhan Danish, 3; dan Siti Nur Aisyah Zinnirah, 11.
Siti Suryati berkata, buat masa ini dia tidak terfikir untuk bekerja sebaliknya akan memberi tumpuan kepada enam anaknya yang masih bersekolah.
“Saya masih belum fikir untuk bekerja bagi menyara lapan anak. Buat masa ini biarlah saya uruskan anak-anak bersekolah terlebih dahulu,” ujarnya.
Sementara itu Abd. Razak berkata, selain Pencen Penakat yang diterima Siti Suryati, Perkeso dengan rakan sinergi Wakalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjadikan lapan anak waris sebagai anak angkat.
Menerusi Program Prihatin Keluarga Angkat (PROTEK) katanya, kesemua anak arwah akan menerima bantuan persekolahan dan bantuan Aidilfitri setiap tahun sehingga mereka tamat persekolahan. -SM