Politik

Isma hairan MCA tidak ada kerusi di DUN Melaka dapat Senator

IKATAN Muslimin Malaysia (ISMA) hairan bagaimana parti MCA yang tidak menang sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mendapat banyak keistimewaan termasuk dilantik sebagai Senator.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, biasanya dalam politik ada sesuatu yang menjadi taruhan termasuk sokongan wakil rakyat.

Namun menurut beliau, MCA tidak perlu mempunyai kerusi dalam DUN Melaka tetapi mampu meraih pelbagai perkara hanya melalui tuntutan ataupun bantahan sahaja.

“Semalam, Timbalan Pengerusi MCA Melaka Datuk Koh Nai Kwong yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili kerajaan negeri Melaka (DUN) mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Senator.

“Baru sahaja sebelum ini, kita saksikan juga Ketua Pemuda MCA yang penuh dengan kontroversi dianugerahkan pingat ‘Datuk’ oleh Melaka juga.

“Saya benar-benar tidak faham dengan kerajaan negeri Melaka yang diterajui oleh UMNO yang baru sahaja ditubuhkan bersama Perikatan Nasional ini.

“Dalam kerajaan negeri, MCA tiada langsung kerusi yang dimenangi oleh mereka walaupun mereka diberi laluan banyak oleh UMNO, hebat sungguh pengaruh mereka,” kata Aminuddin.

Sebelum ini MCA Kota Melaka antara yang membantah cadangan pertukaran nama Bukit St Paul ke nama asal Bukit Melaka.

Isu pertukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka mengundang kontroversi apabila Perbadanan Muzium Melaka mengusulkan perkara berkenaan di peringkat kerajaan negeri. Bagaimanapun, tindakan itu menimbulkan bantahan ramai pihak sehingga satu petisyen diwujudkan.

MCA tidak memang sebarang kerusi DUN mahupun Parlimen pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Jika saya tidak mengatakan hal ini, saya pasti rakyat pun tidak tahu tetapi memang hakikatnya sudah sejak dahulu lagi MCA ini diberikan ‘tongkat’ sebegini tanpa berbelah bahagi.

“Apabila waktu pilihanraya, mahu kerusi majoriti Melayu. Lepas kalah pilihanraya, dapat jawatan exco, dapat jawatan GLC, dapat jawatan Senator dan macam-macam lagi.

“Tetapi orang Melayu tidak pernah pun diiktiraf sebagai bangsa yang bertoleransi, malah sentiasa terpalit dengan pelbagai label negatif sahaja,” kata Aminuddin

Nai Kwong merupakan pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebagai Senator mengangkat sumpah semalam bersama-sama Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.

Nai Kwong, 59, adalah bekas Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Pengerusi MCA Melaka.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button