Politik

Isham Jalil bagi MB Kedah 48 jam

SEMUA orang tahu bahawa sesuatu kandungan minit mesyuarat adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diambil mudah kerana ia melibatkan banyak unsur konspirasi, komplot dan jenayah.

Cerita minggu lepas, sudah kecoh satu Malaya yang membabitkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Beliau kononnya ada berbincang dan sekali gus, dikatakan berkomplot untuk menjatuhkan pemimpin UMNO.

Perbincangan atau komplot itu juga dikatakan menjurus ke arah menyumbat pemimpin-pemimpin UMNO ke dalam penjara setelah minit mesyuarat itu tular.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor, Isham Jalil berkata, minggu lepas beliau telah menyarankan supaya Samsuri mengangkat sumpah laknat apabila Menteri Besar Terengganu itu menafikan minit mesyuarat yang mereka ada berbincang atau berkomplot untuk menjatuhkan dan menyumbat pemimpin-pemimpin UMNO ke dalam penjara setelah minit mesyuarat itu tular.

“Samsuri menggelar minit mesyuarat itu sampah dan takut untuk bersumpah laknat yang dia tidak terlibat atau pernah berbincang seperti dalam minit mesyuarat tersebut.

“Semalam dengan tidak semena-mena MB Kedah Sanusi pula tiba-tiba memetik nama saya, dia kata kononnya minit mesyuarat itu “mungkin ditulis” oleh saya, saya “ada kepentingan” kepada dokumen itu, saya “menggunakan dokumen itu” dan orang macam saya “ada potensi untuk membuat dokumen itu”,” kata Isham.

Beliau berkata, “jika Sanusi tahu undang-undang, tentunya Menteri Besar Kedah itu tidak akan terlepas cakap apa yang dia telah sebut di atas.

“Sebab perkara-perkara di atas adalah tuduhan terbuka yang membawa unsur-unsur fitnah yang berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi seseorang.”

Menurut Isham lagi, mengikut undang-undang, penggunaan perkataan “mungkin” tidak melepaskan dia daripada kesalahan memfitnah: insinuasi, innuendo dan kiasan juga boleh membawa elemen fitnah dalam undang-undang tort mahupun jenayah.

“Oleh itu dia boleh didakwa dengan kesalahan memfitnah jenayah atau “criminal defamation” di bawah Seksyen 499 Akta 574 Kanun Keseksaan Malaysia dan ia membawa hukuman 2 tahun penjara di bawah seksyen 500 akta yang sama,” ujarnya.

Isham turut berkata, Sanusi dan Samsuri disarankan bersumpah laknat menyatakan bahawa mereka tidak terlibat dan tidak pernah berbincang seperti dalam minit mesyuarat tersebut.

“Dan saya pun akan bersumpah laknat bersama mereka kerana saya berani kata bahawa tuduhan Sanusi kepada saya itu adalah fitnah melulu terhadap saya kerana saya tidak ada kaitan pun dalam penyediaan minit mesyuarat tersebut.

“Namun saya rasa, Sanusi juga seperti Samsuri akan takut untuk bersumpah laknat. Sebab jika mereka tipu mereka tahu mereka akan dilaknat di dunia dan akhirat.

“Saya tanya kepada netizen apa cadangan mereka untuk tindakan terhadap Sanusi. Beratus-ratus komen mencadangkan agar saya menyaman Sanusi dan membuat laporan polis.

“Oleh kerana saya tahu Sanusi akan takut untuk bersumpah laknat dan akan mencari pelbagai alasan untuk mengelak seperti juga Samsuri, saya setuju dengan saranan netizen.

“Saya akan membuat laporan polis esok dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kesalahan fitnah Sanusi tersebut.

“Tidak ada sesiapa yang boleh terlepas dari undang-undang jika mereka memfitnah, tidak kira sama ada orang biasa mahupun menteri besar. Undang-undang tidak mengira status atau jawatan,” katanya.

Isham juga berkata, beliau memberi tempoh 48 jam kepada Sanusi untuk meminta maaf kepadanya dan menarik balik apa yang dia kata.

“Jika tidak saya akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya termasuklah tindakan saman seperti yang disarankan oleh netizen,” kata Isham. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button