Nasional

Kalau ada Hasan Rahman, Norhizam nasib nelayan Melaka lebih terbela

Wartawan Suara Merdeka

ALOR GAJAH 28 April – Kalau ada dua bekas Exco kerajaan negeri Melaka iaitu Datuk Hasan Abd. Rahman dan Datuk Norhizam Hassan Baktee, sudah pasti nasib nelayan di seluruh negeri ini pasti terbela.

Hanya mereka berdua cukup disanjung tinggi oleh golongan nelayan di negeri ini kerana tidak pernah terlepas pandang untuk membantu golongan tersebut.

Baik Hasan atau Norhizam, mereka cukup peka dengan sebarang masalah nelayan pastinya akan turun ke padang menjengah dan melihat serta membantu golongan tersebut jika ditimpa musibah.

Nasib nelayan selepas Barisan Nasional (BN) memerintah Melaka apabila menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, langsung tidak ambil peduli nasib nelayan di Tanjung Kling maupun di Masjid Tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang dilantik tidak pernah turun padang mengambil tahu nasib nelayan khususnya berkaitan dengan pampasan di Tanjung Kling maupun di Masjid Tanah.

Bukan beliau tidak tahu masalah nelayan tetapi yang menjadi peliknya, pandang sebelah mata pun tidak.

Sebahagian daripada nelayan PNKMB kecewa pampasan yang dituntut belum diterima.

Terbaharu, Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) kecewa berhubung isu pampasan berjumlah RM5.4 juta, menerusi projek mega Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP).

Wang pampasan terhadap 265 nelayan yang berdaftar sehingga hari ini belum diterima oleh mereka.

Pengerusinya, Mazelan Bakar berkata, pihaknya kini buntu setelah pelbagai usaha dilakukan termasuk mengutus surat kepada Pejabat Ketua Menteri dan membawa isu ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelasnya, mengikut perjanjian asal, wang pampasan sepatutnya diserahkan terus kepada PNKMB untuk diagihkan kepada 265 ahli yang berdaftar,

Katanya, namun pemaju diarahkan agar pampasan dan sumbangan kepada nelayan dibayar melalui kerajaan negeri.

“Saya difahamkan pemaju sebenarnya telah serahkan lebih RM17 juta kepada kerajaan negeri termasuk pampasan RM5.4 juta yang telah dibayar pada Ogos tahun lepas.

“Kerajaan negeri sudah dapat banyak wang daripada pemaju, mengapa mahu ‘merompak’ pampasan kami?. Serahkan segera hak kami kerana pendapatan nelayan di Melaka Barat terjejas 50 peratus sejak lima tahun lalu.

“Para nelayan berharap sangat mereka dapat pampasan sebelum Aidilfitri,” katanya dalam sidang akhbar berhubung bantahan isu pampasan PNKMB di sini hari ini.

Apa yang pelik bagaimana Abdul Razak Abdul sanggup menukar status pampasan kepada sagu hati?

Menurut Mazelan, kenyataan tersebut sangat merobek hati komuniti nelayan yang telah berjuang hampir dua tahun untuk mendapatkan pampasan demi kelangsungan hidup mereka.

“Sejak beliau dilantik sebagai exco, tidak pernah sekali turun padang bertemu nelayan di kawasan Melaka barat. Pemaju yang bayar pampasan itu pun dikatanya salah faham termasuklah kami para nelayan.

“Kami ada bukti dan surat menyurat termasuk keratan akhbar yang jelas menyatakan RM5.4 juta adalah pampasan dan bukan sagu hati. Kami tidak mahu terima sagu hati, sebaliknya akan terus memperjuangkan hak untuk bayaran pampasan,” ujarnya.

Dalam pada itu Mazelan merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bagi menyelesaikan masalah mereka.

“Kami tidak tahu kepada siapa lagi untuk mengadu selepas kerajaan negeri sendiri pun menidakkan hak kami,” katanya.

(Visited 540 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button