Ekonomi

Syed Zaid letak jawatan, Awang Adek Pengerusi Eksekutif SC baharu

DATUK Syed Zaid Syed Jaffar Albar meletak jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission atau “SC”) yang akan berkuatkuasa pada 31 Mei 2022.

Kementerian Kewangan, dalam satu kenyataan hari ini berkata, sehubungan itu, pihak kementerian mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan serta khidmat bakti beliau sepanjang tempoh sebagai Pengerusi Eksekutif SC sejak 1 November 2018 hingga 30 Mei 2022.

“Bagi memastikan peralihan yang lancar dan teratur serta memastikan kesinambungan pentadbiran SC, Kementerian Kewangan telah melantik Datuk Dr. Awang Adek Hussin sebagai Pengerusi Eksekutif SC yang baharu berkuat kuasa selama tiga (3) tahun mulai 1 Jun 2022 hingga 31 Mei 2025,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan ini adalah selaras dengan seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498].

Awang Adek mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pasaran modal dan kewangan Islam.

Beliau berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Ekonomi daripada University of Pennsylvania, Amerika Syarikat dan antara pengalamannya, sebagai Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia.

Awang Adek juga pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah SC, bekas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Ketua Pengarah pertama bagi Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Persisir Labuan (LOFSA), bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan pada tahun 2006 hingga 2013.

“Berbekalkan pengalaman yang ada, Kementerian Kewangan yakin Awang Adek mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi,” katanya. – SM

(Visited 323 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button