Politik

Institusi diraja sumber kekuatan rakyat – Raja Perlis

SUARAMERDEKA: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah institusi diraja serta sistem beraja di negara ini sentiasa relevan dan diperlukan sebagai kekuatan semua rakyat tanpa mengira bangsa, umur dan latar belakang pendidikan.

Sehubungan itu, baginda menyeru kepada semua rakyat untuk sedar bahawa sesungguhnya institusi diraja dan sistem beraja bertindak sebagai pelengkap sistem pentadbiran negara ini.

Masih ada sebahagian daripada masyarakat yang menggunakan kemajuan teknologi untuk menyampaikan pandangan-pandangan yang tidak betul secara meluas tanpa memikirkan kesan dan akibat perbuatan itu.

Raja Perlis bertitah ia termasuk dalam soal yang menyentuh hal-hal negara, terutama yang melibatkan institusi atau Sistem Beraja yang diamalkan negara.

“Mereka tidak memikirkan kesan dan akibat daripada perbuatan itu, meskipun pelbagai tangkapan dibuat, tetapi kes-kes penghinaan terhadap institusi Diraja masih berterusan,” titah baginda ketika merasmikan Seminar Diraja kali keenam (SiRaj VI) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Turut berkenan hadir ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Kewujudan cabaran-cabaran yang kadangkala memperkecil dan memperkotak-katikkan peranan Institusi Diraja telah pun wujud sejak sekian lama dalam sejarah Melayu, tetapi ia masih terus berlaku tanpa mengambil kira peranan penting institusi ini,” titah baginda.

Berikut titah ucapan penuh baginda:

TITAH UCAPAN DYMM TUANKU RAJA PERLIS SEMPENA SEMINAR INSTITUSI RAJA (SIRaj VI) 2019 PADA 24 OKTOBER 2019 JAM 10.00 PAGI BERTEMPAT DI BALAI BUDAYA TUN SYED NASIR, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP), KUALA LUMPUR.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, Saya bersyukur ke kehadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, Saya dapat berangkat hadir ke Majlis Perasmian Seminar Institusi Raja (SIRaj VI) yang bertemakan Sistem Beraja: Antara Realiti Dengan Harapan pada pagi ini.

Setinggi-tinggi penghargaan Saya ucapkan kepada pihak Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bekerjasama buat kali kedua bagi menganjurkan seminar ini.

Besarlah harapan Saya agar usaha murni seperti ini dapat mencapai objektifnya untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai realiti sebenar Sistem BerRaja di Malaysia.

Para Hadirin sekalian,

Negara pada tahun ini sudah pun mencapai kemerdekaan yang Ke–62 tahun. Meskipun begitu, masih ada segelintir masyarakat yang tidak menunjukkan kematangan seiring dengan usia Negara ini. 

Kemajuan teknologi kini tidak menggambarkan kemajuan pemikiran sebahagian masyarakat. Mereka menggunakan teknologi yang maju untuk berbicara dan menzahirkan pemikiran tanpa pengetahuan mengenai hal-hal Negara terutamanya perkara berkaitan Institusi ataupun Sistem BerRaja yang diamalkan di negara ini.

Mereka tidak memikirkan kesan dan akibat daripada perbuatan tersebut. Meskipun pelbagai tangkapan dibuat, tetapi kes-kes penghinaan terhadap Institusi DiRaja masih berleluasa.

Kewujudan cabaran-cabaran yang kadangkala memperkecil dan memperkotak-katikkan peranan Institusi DiRaja telah pun wujud sejak sekian lama dalam sejarah Melayu tetapi ianya masih terus berlaku tanpa mengambil kira peranan penting institusi ini.

Pada Hadirin Sekalian,

Umum mengetahui bahawa Raja merupakan Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu. Peranan dan kuasa Raja terhadap perkara ini tidak pernah dinafikan sejak dari dulu lagi. Walaupun negara pernah dijajah, hasil bumi dikaut dengan rakus oleh orang asing, namun Raja-Raja Melayu masih berkuasa apabila melibatkan perihal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu.

Selain itu, Raja-Raja Melayu turut berperanan penting dalam sistem pentadbiran negara yang dikenali sebagai Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Raja berperanan melalui tiga (3) cabang utama Kerajaan iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman. Malahan, setiap undang-undang yang digubal hendaklah disembahmaklum kepada Raja yang bertindak sebagai pengimbang sesuatu keputusan yang dibuat Kerajaan.

Raja turut berperanan dalam memelihara perpaduan kaum. Perkara ini telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan di mana Raja berperanan melindungi orang Melayu serta hak-haknya. Malahan, Yang di-Pertuan Agong turut bertanggungjawab menjaga dan memelihara kepentingan bangsa-bangsa lain di Malaysia. Ini jelas menunjukkan bahawa Institusi DiRaja bukan hanya melindungi orang Melayu malahan bangsa lain juga turut dilindungi secara adil.

Sehubungan itu, Saya menyeru kepada semua rakyat untuk sedar bahawa sesungguhnya Institusi DiRaja dan Sistem Beraja sentiasa relevan dan diperlukan sebagai sumber kekuatan semua Rakyat tanpa mengira bangsa, umur dan latar belakang pendidikan. Ia bertindak sebagai pelengkap sistem pentadbiran negara ini.

Akhir titah, Saya berharap dengan penganjuran SIRaj VI bertemakan Sistem Beraja: Antara Realiti dengan Harapan ini dapat memberikan pencerahan mengenai kepentingan sistem ini di dalam negara.

Dengan lafaz Bismillahir Rahmannir Rahim, dengan sukacitanya Saya merasmikan Seminar Institusi Raja Ke-6, – “Sistem Beraja: Antara Realiti Dengan Harapan”.

Sekian. 
Wabillahi Taufik Walhidayah,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button