Nasional

Inisiatif pembangunan pelan tindakan industri penjagaan pacu perubahan ekonomi

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini telah melancarkan siri Makmal Pembangunan Pelan Industri Penjagaan di Malaysia yang bertujuan membangunkan Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia dan dijangka siap pada Julai 2024.

Sebanyak lima siri bengkel yang akan diadakan dengan penglibatan pelbagai kepakaran daripada Kementerian, Jabatan, Agensi, Pertubuhan Antarabangsa, Institusi Pengajian Tinggi, pihak swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta individu yang berkemahiran menggunakan pendekatan whole of government dan whole of society.

Matlamat unggul KPWKM berkaitan industri penjagaan ini adalah melahirkan penjaga kanak-kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas yang profesional dan berkemahiran serta membangunkan piawaian yang setanding dengan piawaian negara maju dan berupaya menawarkan perkhidmatan sehingga ke peringkat
antarabangsa.

Pelaksanaan Industri Penjagaan adalah tindak balas tuntas daripada KPWKM terhadap pengumuman YAB Perdana Menteri semasa melancarkan Ekonomi MADANI yang jelas menggariskan bahawa salah satu pemacu perubahan atau game changer untuk merancakkan ekonomi adalah melalui industri penjagaan.

Bagi memastikan kejayaan Industri Penjagaan ini, KPWKM telah memberikan komitmen untuk memperkasa program latihan penjagaan kepada petugas-petugas JKM, penjaga-penjaga di pusat jagaan swasta dan di rumah melalui pakej latihan secara menyeluruh di seluruh negara.

Selain itu KPWKM akan membangunkan lebih banyak modul yang menjurus kepada penjagaan khusus kanak-kanak, warga emas, OKU berdasarkan keperluan golongan ini dan meningkatkan latihan dan persijilan Profesion Penjagaan Ibu Selepas Bersalin MamaCare.\

Pada masa yang sama, KPWKM akan meneliti semula akta-akta di bawah KPWKM yang melibatkan penjagaan seperti Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993 bagi memastikan syarat wajib menggaji penjaga terlatih danpiawaian jagaan yang setara dengan piawaian dunia.

KPWKM mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk tampil dan berganding bahu dengan KPWKM bagi
menjayakan inisiatif ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button