Sukan

Cabaran Sivasangari, Eain Yow di pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Dunia

JAGUH skuasy wanita negara S. Sivasangari mengetuai kemaraan pemain Malaysia dalam kempen Kejohanan Skuasy Dunia 2024 di Mesir apabila melangkah ke pusingan ketiga saingan wanita yang dijadual berlangsung esok.
Selain Sivasangari, pemain nombor satu lelaki negara Ng Eain Yow turut berjaya melepasi cabaran pusingan kedua yang berlangsung di Kelab Palm Hills di Kaherah semalam.
Memetik BERNAMA, pada aksi pusingan kedua itu, Sivasangari yang merupakan pemain nombor 13 dunia mudah menewaskan Caroline Fouts dari Amerika Syarikat 3-0 (11-6, 11-7, 11-6) dalam tempoh 24 minit, manakala Eain Yow turut berjaya menundukkan wakil Jepun Ryunosuke Tsukue 3-0 (11-1, 11-5, 11-9).
“Jelas, saya merasa gelisah dan sebagainya, namun saya bermula dengan baik dan yakin dengan perlawanan. Saya gembira menang dalam tiga set dan berpuas hati dengan cara saya bergerak daripada perlawanan pertama yang agak perlahan,” katanya menurut laman web kejohanan.
Sementara itu, Eain Yow berkata, dia gembira melaluinya, ini kali pertama saya dalam pusingan ketiga.
“Orang mungkin berkata, ‘oh, ia pusingan kedua yang bagus’, tetapi mengenali beliau (Tsukue) yang pernah tewaskan saya dalam kejohanan junior sebelum ini, tidak kisah kedudukan sebenar beliau, dalam kepalanya beliau tahu dapat kalahkan saya,” katanya.
Pada pusingan ketiga yang dijadual berlangsung di satu lagi venue kejohanan iaitu Muzium Mesir, Kaherah, Sivasangari akan membuat perhitungan dengan wakil tuan rumah yang juga pemain nombor tiga dunia Hania El Hammamy untuk merebut slot ke pusingan suku akhir.
Pertembungan antara Sivasangari dan Hania umpama ulangan final London Classic bulan lepas yang menyaksikan wakil negara itu merangkul gelaran juara selepas meraih kemenangan 3-2 (11-9, 5-11, 13-11, 12-14, 11-8).
Sementara itu, Eain Yow juga bakal berdepan cabaran hebat dalam pusingan ketiga apabila dijadual bertemu pemain nombor dua dunia dari New Zealand Paul Coll.
Kali terakhir wakil negara berjaya melangkah ke suku akhir kejohanan dunia ialah legenda dan juara dunia lapan kali Datuk Nicol Ann David yang dilakukan pada edisi 2017 di Manchester, United Kingdom.
Dalam pada itu, dua lagi wakil negara Aira Azman dan Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar masing-masing terkandas semasa pusingan kedua saingan perseorangan wanita dan lelaki. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button