Politik

Ini sebabnya mengapa PM9 perlu dijadikan suri teladan

TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan bahasa Melayu di persada antarabangsa terus mendapat pujian dan dianggap menjadi suri teladan kepada pemain lain di negara ini.

Ketika arus mengagung bahasa Inggeris begitu kuat, Ismail Sabri mengambil langkah tegas menggunakan bahasa Melayu ketika lawatan dan perbincangan diplomatik di Kemboja dan Thailand baru-baru ini.

Justeru 11 orang pemimpin UMNO memuji langkah Perdana  Menteri itu memartabatkan bahasa Melayu diperingkat antarabangsa khususnya di rantau ASEAN.

Jelas mereka, ia menjadi satu contoh terbaik kepada semua kepimpinan pelbagai peringkat yang mengutamakan bahasa Melayu ketika mengadakan sidang media.

“Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah menjadi satu contoh terbaik kepada semua kepimpinan pelbagai peringkat yang mengutamakan bahasa Melayu ketika mengadakan sidang media bersama pemimpin negara Brunei, Kemboja dan terbaharu adalah Thailand.

“Tindakan memperkasakan bahasa Melayu ini sekaligus memartabatkan bahasa ibunda kita ke persada yang lebih luas terutamanya rantau ASEAN.

“Sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu, jadi pemimpin lain tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu ini untuk menyampaikan ucaptama dalam sesuatu program bertaraf antarabangsa.” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama dikeluarkan oleh Datuk Rizalman Bin Dato’ Mokhtar, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak,  Dato’ Mohd Yusof Bin Ismail, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Dato’ Dr Fathul Bari Mat Jahya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Zaidi Bin Mohd Said, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Azhar Bin Ahmad, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Mohd Ridhwan Bin Mohd Ali, Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Datuk Zaluzi Bin Sulaiman, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dato’ Ismail Bin Lassim, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Zurihan Bin Yusop, Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Dato Zakaria Dullah, Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam dan Jeffery Nor Bin Mohamed, Ketua Umno Bahagian Putatan.

Jelas kenyataan itu lagi, penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa bukanlah langkah terbelakang dan seharusnya Malaysia berperanan menjadi bahasa Melayu sebagai ‘lingua franca’ kepada kelompok ASEAN.

“Kami yakin, kita tidak akan terkebelakang sekiranya kita menggunakan bahasa kebangsaan apabila berada di pentas antarabangsa, malahan akan lebih berbangga sebagaimana dengan negara lain yang sentiasa menggunakan bahasa ibunda mereka dalam sesuatu program yang melibatkan dunia luar.

“Malaysia harus berperanan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca kepada kelompok ASEAN yang terdiri daripada 10 negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Filipina, Myanmar dan Thailand.

Menurut kenyataan itu lagi, Sejarah ‘The Malay Archeopilago’ telah membuktikan bahasa Melayu merupakan bahasa yang dipertuturkan dalam ratusan tahun yang lalu di kepulauan melayu ini dengan menggunakan resam tulisan jawi dalam aktiviti bahasa, budaya, agama, pendidikan, pentadbiran dan aktiviti ekonomi.

“Melihat perkembangan yang diteladani Perdana Menteri, pentas antarabangsa adalah platform terbaik untuk kita memaparkan bahasa yang kita gunakan dalam negara kita, kini sudah tiba masanya untuk kita menggunakan bahasa kita di pentas antarabangsa.

“Gunakan kesempatan ini untuk memperkenalkan kita di mata dunia.

“Dalam masa sama juga, kami menegaskan agar semua peringkat dalam negara sama ada pihak kerajaan atau swasta untuk menyambut hal yang sama dengan menggunakan bahasa kebangsaan dalam sebarang urusan rasmi di dalam negara,” kata kenyataan tersebut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button