Ingkar PKP: 131 individu ditahan polis
MASIH ada yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sama ada keingkaran itu sengaja untuk menduga sejauh manakah tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka atau sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak ambil peduli tentang wabak Covid-19 yang masih ada di luar sana.
Hari ini sahaja, polis telah menahan 131 individu yang melakukan kesalahan ingkar arahan PKP.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah yang ditahan itu, 112 individu dikenakan kompaun, 17 direman manakala dua lagi, dijamin.
Apakah kompaun yang dikenakan ke atas pesalah yang ingar arahan PKP merasakan, nilainya kecil dan mampu dibayar dengan begitu ‘kacang’ sekali?
Apakah mereka merasakan direman adalah suatu yang lucu dan tidak mampu menimbulkan kesedaran agar akur dengan arahan PKP?
Kata Ismail Sabri, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka atau face mask apabila berada di tempat awam.
Lain-lain kesalahan, gagal menyediakan peralatan untuk catatan keluar masuk, langgar perintah kuarantin, premis beroperasi lebih masa yang ditetapkan, premis beroperasi tanpa lesen perniagaan dan aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.
Itu semua adalah senarai kesalahan lazim yang dilakukan walaupun ia sepatutnya tidak berlaku kerana setiap hari sejak 18 Mac lalu, seluruh rakyat Malaysia telah diingatkan tentang prosedur operasi standard (SOP) demi memutuskan rantaian wabak Covid-19.
Namun masih ramai lagi yang memandang remeh, ingkar SOP dan seolah-olah mempersendakan usaha yang dilakukan demi keselamatan dan kesihatan diri sendiri.
Tanpa mengira pangkat dan kedudukan, undang-undang dan arahan kerajaan tidak dititik beratkan oleh rakyat negara ini. Mengapa?
Sementara itu, 2,829 pasukan pematuhan melibatkan 12,628 anggota telah membuat pemantauan di 3,897 pasar raya, 5,138 premis restoran, 1,496 kawasan penjaja, 1,440 kawasan kilang, 3,755 premis perbankan dan 723 pejabat kerajaan, kata Ismail Sabri lagi.
Juga dipantau, kata Ismail Sabri, 1,419 terminal pengangkutan darat, 225 terminal pengangkutan air serta 97 terminal pengangkutan udara. – SM