BeritaKesihatanNasionalPendidikanPenyakit

Influenza A dikesan di sekolah menengah berasrama di Petaling

Asrama ditutup sementara untuk disinfeksi

PENGARAH Kesihatan negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesan terdapat satu kejadian kluster Influenza-Like-Illness (ILI) melibatkan sebuah sekolah menengah berasrama di daerah Petaling pada Selasa lalu.

Beliau berkata, kluster tersebut dikesan apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menerima notifikasi 110 orang pelajar bergejala demam, batuk, selesema serta sakit tekak.

GAMBAR HIASAN

Katanya, kes pertama telah dikenal pasti bergejala sejak 14 Jun lalu.

“Sehingga semalam, jumlah keseluruhan kes mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan atas seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak adalah 191 orang pelajar dengan kadar serangan jangkitan 32.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, lima orang pelajar telah disahkan positif Influenza A manakala 13 sampel lagi masih menunggu keputusan.

“Terdapat satu kes berada di hospital untuk pemantauan dan berada dalam keadaan stabil. Ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas 30 orang pelajar bergejala mendapati kesemuanya negatif,” ujar beliau.

Sha’ari dalam kenyataan yang sama juga berkata, hasil dari penilaian risiko dijalankan oleh PKD Petaling serta perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah, penutupan sementara asrama telah dijalankan bagi tujuan disinfeksi dan mengawal penularan jangkitan.

“Asrama terbabit akan dibuka semula selepas penilaian risiko ulangan dijalankan oleh PKD Petaling,” jelasnya.

Sha’ari berkata, pemantauan dijalankan oleh JKN Selangor terhadap jangkitan ILI di negeri itu mendapati situasi masih terkawal namun penularan jangkitan di institusi pendidikan terutamanya sekolah-sekolah berasrama menunjukkan sedikit peningkatan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

“Antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah kurangnya penekanan kepada aktiviti ‘gate keeping’ di sekolah, pertambahan aktiviti dijalankan secara berkumpulan, sentuhan fizikal sesama pelajar dan kurangnya amalan kebersihan kendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai termasuk pentadbir institusi pendidikan dan pusat jagaan, sama ada kerajaan mahupun swasta agar sentiasa mengamalkan langkah kawalan kendiri. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button