BanjirNasionalNegeri

Impak banjir: Pusat peruntuk RM57.2j kepada Perlis

KERAJAAN Pusat telah memperuntukkan sejumlah RM57.2 juta bagi menangani impak akibat bencana banjir kepada penduduk setempat di Perlis.

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Datuk Sri Huang Tion Sii berkata, peruntukan itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri berhubung Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi yang berjumlah RM11.8 bilion untuk menangani masalah banjir di kawasan risiko tinggi di seluruh negara mulai tahun ini sehingga 2030.

Tion Sii (empat dari kanan) ketika berada di Pasar Terapung JPS selepas Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023.

Tion Sii berkata, di bawah Rolling Plan Pertama sehingga Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12, JPS Perlis juga menerima peruntukan RM127 juta bagi pelaksanaan tiga projek yang bukan sahaja memfokuskan kepada projek tebatan banjir malahan melibatkan pemulihan empangan dan pemuliharaan sungai demi kesejahteraan rakyat Perlis.

“JPS turut meluluskan peruntukan kepada Perlis berjumlah RM2.5 juta bagi pelaksanaan Kerja-kerja Kecemasan di Luar Jangka sebagai persediaan untuk menghadapi musim Monsun Timur Laut dan mengurangkan impak kejadian banjir pada penghujung tahun ini, ” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Pasar Terapung, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Pengkalan Asam, Kangar.

Hadir sama Exco Kerajaan Negeri, Megat Hashirat Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Setiausaha NRECC, Datuk Rosli Isa
dan Ketua Pengarah JPS, Mejar (Kehormat) Datuk Ir. Dr. Ahmad Anuar Othman.

Tion Sii berkata, sebagai persediaan menghadapi fasa peralihan monsun dan Monsun Timur Laut di Malaysia, semua Jabatan dan Agensi NRECC telah membuat persediaan awal untuk menghadapi bencana banjir.

“Sebanyak 36 buah stesen telemetri aras air Sungai dan 48 buah stesen hujan serta 12 stesen siren amaran banjir telah dipasang di seluruh Perlis,” katanya.

Tambahnya, model ramalan banjir bagi lembangan sungai Perlis telah beroperasi dan berupaya memberi ramalan banjir tujuh hari lebih awal serta amaran banjir pula sehingga dua hari lebih awal.

Sementara itu Megat Hashirat dalam ucapannya berkata, Pasar Terapung JPS Perlis telah merekodkan anggaran jumlah kehadiran 150,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Katanya, pelbagai aktiviti mula diperkenalkan di Pasar Terapung seperti memancing, mendayung sampan, memberi makan ikan, dan lain-lain lagi.

Beliau berkata, ini membuktikan Pasar Terapung JPS Perlis telah berjaya menarik minat pelancong baru ke negeri Perlis sekali gus telah menambah hasil dan menjana ekonomi penduduk tempatan.

Tambahnya, projek pembangunan berasaskan sumber air seumpama inilah yang amat diharapkan oleh kerajaan negeri yang sentiasa berusaha mencari alternatif untuk menambah sumber pendapatan penduduk tempatan.

Kerajaan negeri sangat berbesar hati sekiranya pihak kementerian mewakili kerajaan Pusat dapat memberi perhatian khusus kepada Negeri Perlis untuk menyalurkan peruntukan yang lebih banyak bagi projek pembangunan seumpama ini. – SM

BACA Banjir: Perlis sedia 120 PPS

BACA Banjir: Sukarelawan Pertubuhan Amal Insan Prihatin Perlis, MAIPs ke Johor

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button