Nasional

Imigresen tumpaskan sindiket Ah Long Bangladesh

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket pinjaman wang haram yang dikenali sebagai ‘Ah Long Bangladesh’ dalam satu operasi khas yang dilakukan di sebuah premis kediaman di Bukit Bintang pada pukul 1 pagi semalam

Pasukan operasi juga terpaksa memecahkan pintu premis kerana penghuni enggan memberi kerjasama dan hasil pemeriksaan mendapati  terdapat lima orang  warga asing berada di premis berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil soal siasat awal terhadap penghuni rumah, mendapati suspek utama sindiket itu telah melarikan diri ketika pasukan serbuan sedang memecahkan pintu hadapan.

“Suspek utama telah melompat ke koridor rumah bersebelahan dan  bersembunyi di kawasan tersebut.

“Pasukan operasi telah bertindak segera melakukan pencarian di kawasan berhampiran. Lebih kurang  2 jam kemudian, pasukan  operasi berjaya menemui  suspek  bersembunyi di tingkat 3 bangunan bersebelahan,” katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, sebanyak 9 keping pasport Bangladesh dan wang tunai sebanyak RM50,000 dipercayai  hasil aktiviti pinjaman dan penghantaran wang  tanpa lesen telah ditemukan dalam operasi ini.

Ujarnya, turut ditemukan ialah sejumlah dokumen berkaitan sebuah syarikat dan beberapa kontrak penyewaan bangunan yang dipercayai digunakan sindiket untuk  menjalankan kegiatan ini.

Jelasnya, sindiket dipercayai  menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang dan kiriman wang tidak berlesen kepada warga asing di sekitar Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah menubuhkan syarikat secara sah bagi mengaburi kegiatan  mereka.

“Sindiket dipercayai telah  menjalankan kegiatan ini sejak setahun yang lalu  dengan menjadikan  warganegara Bangladesh  sebagai pelanggan dan sasaran mereka,” katanya.

Menerusi serbuan itu, dua warga Bangladesh berusia 23 dan 41 tahun yang juga dalang utama sindiket tersebut ditahan di bawah Seksyen 51(5) (b)Akta Imigresen 1959/63

Tambahnya, kedua-dua suspek itu juga disiasat di bawah Akta Pasport 1950 (Akta 150) dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613). -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button