Nasional

Ikut jejak Dr. Shahruddin setelah menang atas tiket PH – Khalid

SEMUA pemimpin yang telah menang atas mandat rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) diseru supaya mengisafi kedudukan mereka dan bertindak berdasarkan prinsip seperti yang diambil oleh Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad dalam satu kenyataan berkata, beliau amat kagum dengan tindakan bekas timbalannya di Kementerian Wilayah Persekutuan itu yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya atas sebab prinsip.

“Beliau melepaskan jawatan semata-mata kerana menghormati mandat rakyat kepada beliau dalam pilihan raya umum ke 14 lalu di Parlimen Sri Gading adalah mandat kepada Pakatan Harapan dan bukan Perikatan Nasional,” katanya.

Padahal, kata Ahli Parlimen Shah Alam itu, beliau adalah antara orang yang paling rapat dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pernah menjadi Setiausaha Politiknya semasa Muhyiddin Timbalan Perdana Menteri.

“Namun hubungan rapat ini tidak mengaburkan pernilaian beliau sehingga beliau tetap bertindak atas dasar prinsip.

“Tahniah atas keberanian dan prinsip yang dipertahankan oleh Dr Shahruddin,” kata Khalid.

Ahli Parlimen Sri Gading itu dalam satu kenyataan akhbar mendakwa beliau melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional PN sebelum ini.

“Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi- pengundi di Parlimen Sri Gading telah memilih parti Pakatan Harapan PH dalam PRU14.

“Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh YAB Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional PN,” katanya. – SM

(Visited 86 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button