Seorang remaja perempuan Aliah Qistina Budiyanto, 16, dilaporkan hilang sejak 17 Mac lalu hingga kini masih belum ditemui.
Dia merupakan tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Jasin, Melaka dilaporkan hilang sewaktu berada di rumahnya di Taman Maju di sini pada malam 17 Mac lalu.
Ibu pelajar itu Noor Fatimahtul Zaharah Talib, 40, berkata, dia berharap anaknya yang dilaporkan hilang dari rumah di Taman Maju di sini dapat pulang semula ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.
Katanya, kali terakhir dia melihat anaknya berpakaian t/shirt baju putih belang hitam, berseluar biru gelap namun tidak pasti sama ada memakai tudung atau tidak.
Menurutnya, sudah hampir seminggu anaknya masih belum ditemui selepas pelbagai usaha dibuat untuk mencarinya.
Katanya, walaupun laporan sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin berhubung kehilangan anaknya itu pada 18 Mac lalu namun sehingga kini usaha menjejaki Aliah Qistina gagal menemukan sebarang petanda positif.
Katanya, usaha yang dilakukan untuk menjejaki anaknya turut dilakukan menggunakan aplikasi WhatsApp, laman sosial Facebook, menampal poster di setiap stesen minyak dan kedai serbaneka 7-Eleven di pekan Jasin.
“Segala usaha kami sekeluarga tidak menampakkan sebarang tanda-tanda positif Aliah Qistina akan ditemui.
“Kehilangannya dari rumah juga pelik pada malam 17 Mac lalu. Ini kerana dia keluar dari rumah tanpa membawa telefon bimbit, dompet, kad pengenalan dan memakai selipar ataupun kasut.
“Sebelum kehilangannya, saya ada menegurnya kerana menggunakan telefon bimbit terlalu lama. Dia bersikap agresif dan meninggikan suara namun selepas itu dia memohon maaf,” ujarnya ketika ditemui di Taman Maju, Jasin, Melaka di sini semalam.
Menceritakan detik-detik tersebut Noor Fatimahtul Zaharah berkata, dalam kejadian pukul 12.00 tengah malam itu, dia bersama Aliah Qistina, adiknya, Adriana dan nenek sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum semua terlelap.
Apabila terbangun dari tidur katanya, dia terkejut melihat pintu dapur terbuka luas dan pintu hadapan tidak berkunci.
“Saya tinjau melihat keliling rumah dan mendapati anak saya tidak ada di bilik tidurnya selepas puas dipanggil berkali-kali,” ujarnya dengan nada sedih.
Katanya, risau dengan keadaan itu, dia dan suaminya menaiki kereta dan motosikal mencari anaknya di sekitar Taman Maju tetapi gagal menemuinya termasuk menghubungi rakan sekolahnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang ternampak atau mengenali anaknya untuk menghubunginya di talian 011-2709 9060. – SM