Nasional

Ibu bapa perlu buat tabungan awal untuk pendidikan anak-anak

IBU bapa perlu membuat perancangan kewangan seawal usia anak-anak mereka sebagai persediaan bagi pendidikan tinggi.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan ketika memberitahu mengenai kepentingan menabung.

“Tanpa kewangan yang terancang dan jika senario ini (pandemik Covid-19) berterusan, rakyat akan terdedah kepada masalah kewangan di masa hadapan.

“Penabungan bukan sahaja dapat membantu membangunkan ekonomi negara, tetapi juga akan meningkatkan kualiti hidup dan menjamin masa depan inividu.

“Disebabkan itu, masyarakat terutamanya ibu bapa perlu peka dan membuat persediaan awal dengan menabung buat anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Bulan Menabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Penganjuran program tersebut adalah sempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun dengan objektif untuk menggalakkan tabungan dan menyemai minat menabung dalam kalangan orang ramai di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, pada tahun ini ditukar kepada Bulan Menabung SSPN bertemakan ‘SUPERHERO’ yang akan berlangsung selama sebulan, bermula hari ini sehingga 31 Oktober 2020, secara dalam talian ekoran norma baharu berikutan situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, mengulas mengenai tema Bulan Menabung SSPN kali ini, Wan Saiful berkata, tema tersebut bertepatan dengan fungsi PTPTN sebagai pemberi bantuan kewangan untuk pendidikan anak-anak.

“Ibu bapa juga adalah satu daripada ikon Superhero pertama bagi anak-anak yang akan melanjutkan pengajian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, walaupun dilanda Covid-19, simpanan pendidikan untuk masa depan anak-anak tetap perlu diteruskan.

“Anak-anak masih belum matang untuk memikirkan simpanan pendidikan masa depan mereka.

“PTPTN dan ibu bapa perlu bersama-sama berganding bahu bertindak sebagai Superhero dan celik tentang kepentingan tabungan pendidikan tinggi anak-anak Malaysia,” jelasnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button