Ibu bapa digesa lihat tanda-tanda jangkitan Covid-19 pada kanak-kanak
Ibu bapa dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang simptom fizikal pada anak-anak mereka yang sakit terutamanya tanda jangkitan Covid-19.
Dr Ajit Pal Singh Raina berkata ibu bapa perlu memerhatikan simptom yang boleh menunjukkan kehadiran virus lain.
“Mereka mungkin fikir ia hanya selesema (virus), tetapi anak mereka sebenarnya boleh dijangkiti bersama Covid-19 dan selesema, atau virus lain.
“Dengar anak anda jika mereka mengadu lesu atau sakit otot,” kata pakar vaksin dari Pharmaniaga Berhad itu.
Dr Ajit merupakan salah seorang daripada tiga ahli panel pada webinar bertajuk ‘Keperluan dan Faedah Vaksin Covid-19 Untuk Kanak-kanak dan Dos Penggalak untuk Dewasa’, hari ini.
Panelis lain termasuk ketua epidemiologi Kementerian Kesihatan Chile Dr Rafael Ignacio Araos Bralic, dan pengarah hal ehwal perubatan Sinovac China Dr Gao Yongjun.
Beliau berkata sindrom keradangan pelbagai sistem (MIS-C) adalah ancaman sebenar dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya dengan peningkatan jangkitan Covid-19 yang disebabkan oleh strain Omicron.
Dilaporkan terdapat 1 kes MIS-C bagi setiap 3,200 jangkitan pada kanak-kanak, katanya, dan terdapat peningkatan dalam jumlah penggunaan katil harian bagi pesakit kanak-kanak berumur 0-11 tahun di hospital Kementerian Kesihatan.
“Sesetengah gejala MIS-C termasuk sakit dada, demam, muntah, dehidrasi dan sesak nafas.
“Jangkitan MIS-C sangat sukar untuk diurus dan merupakan mimpi ngeri bagi pakar pediatrik di hospital.”
Dr Ajit berkata pengambilan vaksin untuk kanak-kanak masih rendah, kerana ramai ibu bapa tidak mengetahui tentang komplikasi daripada Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.
Beliau menambah bahawa terdapat keperluan untuk meningkatkan Program Imunisasi Kanak-kanak Covid-19 Kebangsaan (PICKids) dan memvaksin baki kanak-kanak di negara ini.
Pharmaniaga sedang dalam proses menyerahkan data baharu dari China kepada Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) untuk memvaksin kanak-kanak di bawah umur lima tahun.
“Kanak-kanak amat penting untuk diberi vaksin, namun hanya 50 peratus daripada mereka yang diberi vaksin. Kita tahu kes dalam kalangan mereka yang berumur 5 hingga 11 tahun adalah tinggi, dan mungkin juga terdapat jangkitan bersama.
“Unit rawatan rapi dan hospital kami menerima pesakit kanak-kanak. Ini boleh dicegah dan ibu bapa perlu pergi dan dapatkan anak-anak mereka vaksin Covid-19,” tambahnya.