MahkamahNasionalpilihan

Nasib notis usul Najib Razak bagi memasukkan bukti baharu diketahui hari ini

Sebelum ini Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan notis usul bagi memasukkan bukti baharu menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Sehubungan itu, nasib bagi perkara itu akan diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini sama ada keputusan permohonan notis usul adalah dibenarkan atau akan ditolak.

Permohonan Najib melalui permohonan notis usul itu dibuat dengan alasan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes SRC di Mahkamah Tinggi dan mendapati beliau bersalah di atas tujuh pertuduhan, sengaja gagal mendedahkan peranannya dalam Maybank Investment melalui Bina Fikir Sdn Bhd berkaitan penubuhan SRC, menyebabkan berlakunya konflik kepentingan dan berat sebelah.

Jika permohonan notis usul itu dibenarkan, kemungkinan mahkamah akan membenarkan Najib untuk memohon mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi terbatal dan tidak sah serta menimbangkan untuk diadakan perbicaraan semula, seperti dimohon bekas Perdana Menteri itu.

Najib turut memohon dalam notis usul berkenaan supaya rayuan akhirnya didengar hanya selepas siasatan dijalankan ke atas Mohd Nazlan.

Jika permohonan notis usul itu ditolak, mungkin panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan terus mendengar rayuan utama membabitkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun ia juga bergantung kepada permohonan lisan yang dijangka dibuat oleh peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik untuk menangguhkan prosiding.

Najib gagal dalam cubaan pertama pada 16 Mac lalu apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya untuk memasukkan bukti membabitkan dakwaan bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya, bersekongkol dalam rancangan jahat ahli perniagaan kontroversi yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Ketika sidang media selepas prosiding hujahan permohonan itu semalam, Hisyam berkata, beliau yakin permohonan pihaknya untuk memasukkan bukti baharu dan untuk menangguhkan prosiding rayuan akan dibenarkan mahkamah.

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button