Nasional

Hydroxychloroquine: Pesakit berdepan risiko kematian, masalah jantung – WHO

SEHINGGA ke hari ini, saat ini dan detik ini, wabak COVID-19 masih belum ditemui vaksinya. Penduduk dunia perlu bersabar dan mematahui arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan masing-masing untuk memutuskan rantaian COVID-19 yang mula bertebaran sejak kira-kira akhir tahun lepas.

Negara-negara maju termasuk China gigih berusaha dan mencari penawar atau vaksin yang bersesuaian untuk mengubati pesakit yang terkena jangkitan wabak pembunuh ini.

Namun tiada satu negara pun yang mampu menyatakan dengan pasti, mereka telah menemui vaksin untuk COVID-19 walaupun para saintis menjalankan ujian demi ujian, kajian demi kajian dalam usaha mencari vaksi atau ubat yang tepat untuk merawat pesakit.

Amerika Syarikat menerusi Presidennya, Donald Trump pernah mengumumkan kononnya sejenis ubat yang merawat malaria boleh digunakan untuk pesakit COVID-19 tetapi akhirnya ubat berkenaan meragut nyawa.

Hari ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terpaksa mengumumkan bahawa penggunaan hydroxychloroquine sebagai rawatan COVID-19, digantung.

Tidak kiralah samada penggantungan hydroxychloroquine buat sementara waktu atau jangka panjang atau tidak boleh digunakan sampai bila-bila pun.

Kajian penggunaan hydroxychloroquine dibuat di peringkat global dan sehingga kini, pakar WHO akan meneliti semua data yang diperoleh daripada penggunaan ubat malaria itu.

Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan tentang penggantungan penggunaan hydroxychloroquine di Geneva semalam.

Beliau berkata, memetik laporan journal perubatan Lancet yang diterbitkan pada Jumaat lepas, pesakit yang diberikan hydroxychloroquine berdepan risiko kematian atau masalah jantung.

Katanya lagi, kumpulan eksekutif percubaan Solidarity yang mewakili 10 negara mengadakan perbincangan pada Sabtu lepas.

“Dan hasilnya, mereka bersetuju untuk mengkaji semula analisa komprehensif dan penilaian terhadap semua bukti yang ada di seluruh dunia tentang penggunaan hydroxychloroquine.

“Kajian berkenaan juga akan mempertimbangkan data yang dikumpul setakat ini, khususnya data rawak yang tersedia bagi menilai dengan tepat potensi faedah dan kemudaratan dari ubat berkenaan,” ujar beliau.

Tedros berkata, pelaksanaan pemberhentian penggunaan hydroxychloroquine adalah bersifat sementara.

“Kita tunggu sementara data berhubung keselamatan disemak oleh Badan Pemantau Keselamatan Data, kita gantung dulu penggunaan hydroxychloroquine ” tegasnya.

Percubaan Solidarity dimulakan WHO dua bulan lalu bagi menilai keselamatan dan keberkesanan empat jenis ubat dan empat kombinasi ubat yang boleh digunakan untuk merawat COVID-19.

Minggu lepas, presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengakui dia mengambil hydroxychloroquine walaupun negatif COVID-19.

Sementara itu, pada 23 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KP KKM), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah melaporkan Malaysia menggunakan hydroxychloroquine untuk merawat pesakit COVID-19 di negara ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, doktor harus memantau rapi pesakit COVID-19 yang dirawat menggunakan hydroxychloroquine kerana ia mempunyai kesan sampingan.

Antara ubat-ubatan lain yang turut digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 adalah remdesivir. – SUMBER BERNAMA – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button