Nasional

Hukuman mati pemandu mabuk ikut undang-undang sedia ada

HUKUMAN mati terhadap pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian pengguna jalan raya akan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, jika Kanun Akta 574 Kanun Keseksaan digunakan untuk menjatuhkan hukuman mati, ia perlu dibuktikan di mahkamah bahawa pemandu mabuk tersebut mempunyai niat untuk membunuh melampaui keraguan munasabah.

“Memang kita geram, tetapi kita tidak boleh ambil tindakan secara melulu supaya pemandu mabuk ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Maka, Kementerian Pengangkutan telah mengambil keputusan untuk meminda seksyen seksyen, termasuk had kandungan alkohol supaya seseorang yang memandu melebihi had-had tetentu akan dikenakan hukuman yang jauh lebih berat,” kata Ka Siong.

Beliau berkata demikian terhadap cadangan mengenakan hukuman mati bagi kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ka Siong menjawab soalan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kasim yang meminta Menteri Pengakutan menyatakan adakah terdapat sebarang perancangan untuk melakukan pindaan terhadap akta sedia
ada mengenai isu pemandu mabuk yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Shahidan juga mahu mengetahu apakah hukuman mati akan diperkenalkan. terhadap kes yang menyebabkan kematian.

Bercakap di Dewan Rakyat, Ka Siong berkata, Jemaah Menteri pada 24 Jun lalu bersetuju untuk meminda Seksyen 41 hingga 45 secara khusus untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah
dan memandu secara melulu.

Menurutnya, Jabatan Peguam Negara telah menyemak draf Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan draf RUU akan dibentangkan untuk persetujuan Jemaah Menteri pada 17 Julai dan
seterusnya untuk dibentangkan di Parlimen pada sesi ini.

“Selain daripada pindaan hukuman, Kerajaan juga akan meminda had kandungan alkohol yang dibenarkan supaya selaras dengan piawaian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Iaitu daripada 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas; 80 miligram alkohol dalam
100 mililiter darah atau 107 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing kepada 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas; 50 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah atau 67 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing,” kata Ka Siong.

Sementara itu, menurut beliau sejumlah 97 peratus responden soal selidik atas talian dari 21 Mei sehingga 4 Jun memberikan maklum balas yang positif dan bersetuju bahawa kuantum hukuman sedia ada tidak memadai.

“Sebagai contoh, seramai 324,489 iaitu 94% responden bersetuju agar kadar hukuman penjara, denda dan tempoh hilang kelayakan lesen memandu ditingkatkan ke atas pemandu yang disabitkan kesalahan memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

“Ini bagi memberi kesedaran kepada umum dan keinsafan kepada pesalah,” kata Ka Siong.-SM

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button