Hujan setiap petang jejaskan peniaga bazaar, lelaki ini borong semua makanan jualan depan mata
BERMULA seawal Ramadan lagi, keadaan cuaca yang hujan pada setiap petang memang menjejaskan jualan peniaga di bazar kerana ketiadaan pengunjung.
Malah, ada yang diduga sehingga khemah perniagaan mereka tercampak dek kerana angin dan hujan ribut yang begitu kuat.
Perkara itu telah mendapat perhatian seorang lelaki bertindak memborong semua makanan yang dijual di depan matanya.
Malah, tindakan murni lelaki itu juga tular di media sosial dan barulah ramai yang tahu bahawa lelaki itu adalah seorang usahawan dan pengasas kosmetik jenama ESW.
Namun, tidak semua memuji tindakan usahawan tersebut yang dikenali sebagai Iddin Syah kerana ada yang menyifatkan dia sebagai sengaja mencari tumpuan.
Bagaimanapun, Iddin telah menafikan tuduhan tersebut dan memberitahu bahawa apa yang dilakukannya adalah ikhlas.
“Saya sekadar kongsikan video itu di IG personal saya sbg content peribadi, sekaligus untuk memberi contoh yg baik kepada stokis dan ejen ESW.
“Walaupun ada sebilangan kecil yg mengecam dan menganggap saya menunjuk-nunjuk, terserah apapun pendapat mereka kerana saya tahu itu bukanlah tujuannya.
“Setiap kali balik dari kerja melalui kawasan bazar ramadan, saya sayu melihat peniaga-peniaga yang bertungkus-lumut mencari rezeki dlm keadaan hujan lebat.
“Memang banyak hari dah hujan berlaku waktu petang. Sudahlah tahun lepas tak boleh berniaga sbb PKP 1.0 semua kena lockdown, tahun ni pula cuaca belah petang hujan lebat,” katanya.
Ujarnya, perkara itu yang membuatkan dia berniat untuk memborong makanan di bazar Ramadan sebagai kejutan dan berkongsi rezeki yang dimilikinya.
Tambahnya, mudah-mudahan setiap rezeki yang dikongsinya dapat meringankan beban peniaga-peniaga yang ingin mencari rezeki pada bulan puasa, insya-Allah. -SM