Agama

Hubungan umat Islam Thailand dan Perlis sentiasa diperkukuh

HAT YAI 24 Mac – Hubungan baik yang sedia terjalin antara umat Islam di Thailand dengan masyarakat Islam di Perlis, adalah manifestasi kepada konsep Ummatan Wahidah.

Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung saban masa adalah satu bentuk kerjasama dan usaha kita dalam memperkukuhkan lagi hubungan antara rakyat dan pemimpin, antara negeri dan wilayah kedua-dua negara, serta antara masyarakat Islam yang berkongsi agama yang sama.

Melalui program sebegini juga, kita bukan sahaja dapat memperlihatkan semangat ukhuwah yang tulus, tetapi juga menyemai kesedaran akan tanggungjawab MAIPs dalam memperkasakan lagi dakwah Islamiah di luar negara.

Demikian menurut kenyataan MAIPs sempena lawatan rombongan tanggungjawab Sosial Masyarakat oleh GTK Perlis yang diketuai oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Hat Yai, Thailand pada sabtu bagi menyampaikan sumbangan sempena bulan Ramadan pada tahun ini.

MAIPs menyampaikan sumbangan untuk tujuan Aktiviti Dakwah dan Kemasyarakatan kepada lima buah masjid terpilih sekitar bandar Hat Yai di perkarangan pusat membeli belah Central Festival Hat Yai. Masjid-masjid yang terpilih kali ini ialah Masjid Ansudin, Masjid Faisaliah, Masjid Jami’iyyatil Muslim, Masjid Majmuk Muslim dan Masjid Al-Mahabbah.

Mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Paduka Anakanda kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Masjid-masjid merupakan simbol kepada kekuatan umat Islam di negara jiran tersebut yang sentiasa berusaha untuk meneruskan perjuangan Islam dengan penuh tekad dan dedikasi’

Baginda berasa bangga melihat bagaimana komuniti Islam di sana sentiasa berusaha untuk memelihara warisan agama dan budaya, serta membimbing generasi muda untuk terus istiqamah dalam ajaran Islam yang sebenar dan ianya wajar diteruskan’.

Sempena keberangkatan Tuanku Raja Muda dan Tyanku Raja Puan Muda beserta rombongan kali ini, turut dikunjungi ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Darul-Uloom, Bazar Ramadan Hat Yai Nai serta Pelancaran Promosi Masakan Perlis sempena majlis berbuka puasa di Restoran Marada Thai Cuisine.

Untuk rekod, Masyarakat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan MAIPs boleh melayari laman web rasmi di www.maips.gov.my. Manakala, mereka yang ingin menunaikan zakat, memberi sedekah atau berwakaf boleh berbuat demikian dengan mudah melalui portal bayaran dalam talian MAIPs di bayaran.maips.gov.my.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button