KERAJAAN negeri yakin dengan jalinan hubungan strategik dengan beberapa syarikat kurier akan membolehkan kualiti perkhidmatan penghantaran mangga harumanis ke seluruh negara dipertingkat.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Razali Saad berkata, malah segala masalah berkaitan dengan penghantaran yang dihadapi beberapa tahun sebelum ini juga telah berjaya diatasi sepenuhnya.
Beliau berkata, penghantaran harumanis sangat sensitif kerana ia tidak sama dengan buah-buahan jenis lain.
“Jabatan Pertanian Perlis mengambil kira semua isu ini seperti lewat, lambakan dan sebagainya tidak akan timbul lagi,” katanya kepada Suara Merdeka selepas merasmikan Kempen Jualan Mangga Harumanis Secara Atas Talian 2024 di Dewan Seminar Bangunan Agro Pelancongan di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri, semalam.
Hadir sama Pengarah Pertanian Perlis, Hafizuddin Othman.
Razali berkata, kali ini hasil perbincangan antara Jabatan Pertanian dan syarikat kurier akan menggunakan kotak tiga lapis yang lebih kukuh.
“Ia satu penambahbaikan kerana sebelum ini, penggunaan kotak satu lapis mudah rosak,” katanya.
Selain itu katanya, pengangkutan untuk mengambil parcel mangga harumanis juga dilakukan di Pusat Pengumpulan Khas.
“Syarikat kurier juga memberi jaminan penghantaran tidak melebihi tiga hari akan sampai kepada pembeli,” katanya.
Razali berkata, sekaligus pembeli akan berpeluang merasa mangga segar dan menikmati keharumannya yang sebenar.
Beliau berkata, dengan kerjasama dengan syarikat kurier ini, pengusaha harumanis juga tidak perlu bergerak dengan kenderaan sendiri bagi mencari pasaran di luar.
Razali berharap lebih ramai lagi pengusaha harumanis menjadikan media sosial untuk pasaran online dengan lebih meluas kerana syarikat kurier telah bersetuju memberikan khidmat penghantaran terbaik. – SM