Kesihatan

Hospital perlu beri keutamaan kepada unit perubatan dalam akut – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar hospital-hospital di seluruh negara dapat menggunakan sebaiknya ‘Perubatan Dalaman Maju dan Akut’ bagi kebaikan para pesakit. Walaubagaimanapun, sebuah anjakan paradigma adalah perlu dalam kalangan para pakar perubatan dan pihak hospital bagi terus memanfaatkan para pesakit Akut.

Tindakan ini juga haruslah disokong dan dijalankan di semua hospital di Malaysia, kerana tempoh rawatan 72 jam yang pertama adalah sangat penting dan kritikal bagi menjamin keselamatan seseorang pesakit.

Tuanku Raja Muda berharap dapat melihat penubuhan Unit Perubatan Dalaman Akut, yang akan menjadi pelopor dalam penerimaan dan penggunaan ciri penjagaan kesihatan ini di dalam sistem perubatan negara kita. Penggunaan innovasi ini secara betul dan berkesan akan membuka laluan bagi Jabatan Perubatan Dalaman untuk mempunyai unit eksklusif yang tersendiri, khas untuk memantau mereka yang benar-benar memerlukan. Pengunaan Unit ini terbukti berjaya mengurangkan banyak kesesakan katil di wad-wad perubatan dan meningkatkan prestasi penjagaan pesakit yang memasuki wad.

Inisiatif perubatan ini bertujuan untuk melatih dan mempersiapkan golongan barisan hadapan bagi menghadapi situasi yang genting dalam menangani kes-kes yang melibatkan pesakit-pesakit Akut. Para petugas barisan hadapan ini juga akan belajar dan mengaplikasikan pengetahuan teori yang mereka ada, di lapangan sebenar dalam menguruskan pesakit-pesakit yang memerlukan.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan merasmikan kursus dan bengkel ‘Management of the Acutely ill Medical Patient’ anjuran Malaysian Advanced Acute Internal Medicine And Ultrasound Society (MAAIMUSS) dan College of Physicians Malaysia secara maya pada pagi tadi. Seminar yang berlangsung di Hospital Universiti Malaya itu menyaksikan penyertaan lima puluh orang peserta dalam kalangan doktor khas yang dipilih dari pelbagai pusat perubatan termasuk Hospital Kementerian Kesihatan, Hospital Universiti-Universiti serta Hospital Swasta. Kumpulan ini dipilih khas supaya para peserta tersebut akan dapat pulang ke hospital masing-masing nanti dan menyebarkan pengetahuan terkini ini kepada rakan-rakan mereka yang lain. Panel penceramah terdiri daripada tokoh-tokoh dalam bidang neurologi, hematologi serta bidang perubatan dalaman maju dan akut. Ciri khas kursus ini adalah tumpuan besar yang diberi dalam bentuk ‘hands on’ supaya peserta dapat mengaplikasikan konsep yang baru diajar ke atas pesakit secara ‘practical real time’.

Baginda memberi contoh sejak dua tahun yang lalu, MAAIMUSS memainkan peranan yang kritikal bagi melatih dan membekalkan para Pakar Perubatan Dalaman dengan kemahiran yang diperlukan untuk merawat pesakti yang kini semakin rumit terutamanya dengan penularan wabak COVID-19. Perubatan Dalaman Maju dan Akut di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) juga merupakan salah satu benteng pertahanan negara dalam menghadapi ancaman Covid-19. HTF di Perlis telah berjaya membahagikan tenaga manusia dan juga menggunapakai sumber yang ada dengan baik, dalam melawan COVID-19. Pada masa yang sama, mereka dapat menumpukan perhatian khusus kepada para penyakit bukan COVID lain yang kalau tidak akan terpaksa diabaikan.

Sementara itu Presiden MAAIMUSS, Datuk Seri Professor Dr Paras Doshi menghuraikan ‘Persidangan ini adalah untuk memfokuskan penambahbaikan bidang perubatan dalaman yang sentiasa berdepan dengan krisis akut yang tidak dijangka berkenaan pesakit-pesakit kronik. Tidak dilupakan juga, usaha untuk meningkatkan kesedaran berkenaan keperluan untuk mempunyai asas yang kuat dalam patofisiologi dan pengunaan ultrabunyi dalam merumuskan pelan tindakan perawatan. Format kursus dan bengkel ini akan dijadikan prototaip supaya dapat dilaksanakan dan diulang kembali kemudian di setiap negeri dan juga di negara jiran kita termasuk Singapura.

(Foto / footage : Ihsan MAAIMUSS)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button