Uncategorized

Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM jadi pusat rawatan pesakit Covid

Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi hospital merawat pesakit Covid-19 minggu depan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat hospital tersebut untuk melihat sendiri persiapan HPKK sebelum mula menerima dan merawat pesakit Covid-19.

Muhyiddin berkata, penglibatan HPKK UKM membolehkan Kementerian Kesihatanmempunyai fasiliti tambahan untuk menguruskan pesakit-pesakit Covid-19 yang kritikal dari kawasan sekitar Lembah Klang.

“Alhamdulillah sejak bermulanya pandemik ini sehinggalah sekarang, Kerajaan terus komited membiayai pelbagai kemudahan dan peruntukan di bawah Ordinan Darurat bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan negara kita dapat meneruskan fungsinya pada tahap yang optimum,” katanya.

Jelas Muhyiddin, pengoperasian HPKK UKM sebagai sebuah hospital Covid-19 dilaksanakan di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah ditandatanganinya pada 4 Jun lalu.

Melalui kedua-dua seksyen tersebut Kementerian Kesihatan boleh mengambil sementara HPKK UKM dan lain-lain sumber termasuk sumber manusia bagi tujuan menangani pandemik COVID-19.

Beliau menekankan, kerjasama antara KKM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Ordinan Darurat adalah penting untuk menentukan supaya sistem kesihatan negara tidak runtuh ketika dilanda pandemik Covid-19.

Pada lawatan itu, Muhyiddin turut berkesempatan melihat proses pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu yang dioperasikan secara bersama dengan kakitangan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Insya-Allah semoga usaha ini akan membantu untuk mempercepatkan proses pemberian vaksinasi dan seterusnya mencapai imuniti berkelompok yang disasarkan,” katanya.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button