‘Hormatlah kita ni sikit, there’s no big brother’ – Muhyiddin ingatkan UMNO
UMNO diingatkan supaya tidak meneruskan sikap sebagai abang besar atau big brother.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, tiada istilah “abang besar” antara UMNO dan Bersatu dalam tampuk kerajaan.
Muhyiddin menegaskan segelintir pemimpin UMNO perlu ingat bahawa parti itu mampu menduduki kerusi Perdana Menteri kerana sokongan parti dalam Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu dan Pas.
“Sebagaimana disebut Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) sendiri, dia kata Umno kembali memegang tampuk kerajaan bukan parti itu ada jumlah kerusi majoriti atau bukan kerana Umno menang…kerana sokongan diberikan parti-parti dalam PN dan Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kita.
‘”Jadi saya nak pesan sesetengah pihak dalam Umno ni, bukan semualah… hormatlah kita ni sikit, ‘there’s no big brother’, sama saja… jangan mudah lupa diri.
“Kena cakap lembut saja, takut salah faham, bukan kerana takut…,” ” katanya pada ucapan perasmian Perhimpunan Agung Bersatu kali ke-4 di ibu negara.
Ucapan beliau itu disambut dengan sorakan oleh lebih 1,000 perwakilan Bersatu dari seluruh negara.
Muhyiddin berkata demikian berikutan ramai dalam kalangan ahli Bersatu yang ingin tahu kedudukan parti itu dan PN dalam Kerajaan Persekutuan yang diketuai pemimpin UMNO. Ini susulan keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti
Muhyiddin berkata, Bersatu tetap memberi sokongan kepada kerajaan diterajui Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, dan pemimpin Bersatu juga masih berada dalam kerajaan.
Beliau berkata, Ismail Sabri sendiri pernah mengakui UMNO kembali ke tampuk kerajaan bukan kerana ia memiliki jumlah majoriti kerusi dalam Parlimen atau UMNO mencapai kemenangan, sebaliknya hasil sokongan parti dalam PN serta Ahli Parlimen bebas yang menyokong.
“Ya, saya tiada dalam kerajaan tapi saya presiden parti yang menyokong kerajaan dan sokongan ini berdasarkan terma-terma tertentu.
“Kita tandatangani MoU (memorandum persefahaman) ada terma-terma yang perlu dipatuhi dan diikuti. Yang telah kita persetujui bersama. Kita tak dedahkan cuma kita bagi tajuk saja dan selagi mana terma-terma ini dipatuhi, selagi itulah kita beri sokongan sehingga tiba masa sesuai untuk diadakan PRU-15,” kata Muhyiddin.-SM