Politik

Hishammuddin dilantik Bendahari Agung BN

AHLI PARLIMEN Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik sebagai Bendahari Agung Barisan Nasional yang baharu.

Sementara Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sebelum ini menjawat jawatan tersebut kekal sebagai Bendahari UMNO.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah berunding dengan presiden-presiden parti dalam komponen BN untuk melakukan perubahan tersebut.

Katanya, rombakan kecil dalam kepimpinan BN itu telah dilakukan dengan mengambil kira beberapa aspek untuk memperkukuhkan struktur organisasi BN.

“Barisan Nasional merakamkan setinggi-tinggi pengharhaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas segala jasa dan peranan beliau selaku Bendahari Agung Barisan Nasional,” kata Ahmad Zahid yang membuat pengumuman itu hari ini.

Pada 8 Jun 2018 Hishammuddin membuat kejutan apabila mengumumkan untuk tidak bertanding sebarang jawatan dalam Umno di peringkat pusat pada pemilihan parti, 30 Jun 2018.

Beliau yang merupakan Naib presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden pada waktu itu berkata, beliau menyedari keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu memberi isyarat bahawa parti keramat itu perlu melakukan perubahan secara menyeluruh.

“Saya sedar dan insaf dengan keputusan PRU14 yang lalu yang tidak menyebelahi Barisan Nasional. Rakyat telah menyatakan pendirian dan saya menerimanya dengan baik dan terbuka… saya turut mengambil tanggungjawab dan akauntibiliti terhadap kekalahan tersebut.

“Dalam masa kita menerima keputusan PRU14, Umno kini berada dalam peringkat pemilihan parti. Masa yang amat sesuai untuk Umno mengambil kesempatan melakukan perubahan dengan mencorak kepimpinannya.

“Justeru, saya membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi apa-apa jawatan di peringkat pusat bagi sesi pemilihan kali ini. Sebaliknya, saya akan bekerja dengan lebih keras untuk membantu membangunkan semula Umno bermula dari Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ketua Umno Bahagian Sembrong itu, beliau tetap setia bersama-sama Umno sehingga ke akhir hayat dan akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada barisan kepimpinan baharu yang bakal dipilih.

Bagaimanapun selepas Perikatan Nasional mengambilalih kerajaan daripada Pakatan Harapan pada Mac lalu Hishammuddin dilantik sebagai Menteri Luar.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button