Bola SepakSukan

Luqman diserap ke dalam skuad utama KV Kortrijk

MUNGKIN ini khabar gembira buat peminat bola sepak tempatan apabila detik yang mereka nanti-nantikan selama ini akhirnya kunjung tiba apabila Luqman Hakim Shamsudin disenaraikan ke dalam skuad utama KV Kortrijk menjelang aksi menentang RSC Anderlecht pada pukul 2.45 pagi, Sabtu ini.

Bagaimanapun, diingatkan juga kepada pengikut setia penyerang berusia 18 tahun itu, jangan pula anda terlalu teruja kerana nama Luqman sememangnya disenaraikan ke dalam skuad utama, tetapi peluangnya untuk berada dalam kesebelasan utama ataupun di bawa masuk dari bangku simpanan belum terjamin.

Pemain muda negara yang menyertai kelab Divisyen Satu Belgium A, Ogos lalu itu berjaya menambat hati jurulatih skuad utama selepas beraksi dalam perlawanan persahabatan dan Liga Belgium Bawah-21 Tahun.

Pengumuman nama Luqman tersenarai ke dalam skuad utama telah disiarkan menerusi laman web rasmi kelab itu dan ia turut dimuat naik ke dalam Facebook KV Kortrijk, malam tadi.

Namun, seandainya Luqman diberi peluang beraksi pada pertemuan itu nanti, pemain remaja kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut bakal melakar sejarah menjadi anak Malaysia pertama beraksi dalam liga utama di Eropah.

Sehingga kini, masih belum ada lagi pemain Malaysia berjaya berbuat demikian. Walau apa juga nasib Luqman nanti sama ada terpilih bermain bersama skuad senior ataupun tidak, anak muda itu patut berbangga kerana peluangnya untuk bertapak maju semakin terbentang meluas.

Apa yang perlu dilakukan Luqman ialah menanti dengan penuh kesabaran peluang itu dan jika ia berjaya direalisasikan, dia perlu memanfaatkan kesempatan tersebut sebaik mungkin bagi membuktikan bakat yang dimilikinya.

KV Kortrijk yang kini menghuni tangga kelapan dalam carta liga profesional Belgium setelah mengumpul 14 mata daripada sembilan perlawanan akan turun beraksi menentang Anderlecht di Stadium Guldensporen.
Anderlecht yang dibimbing bekas bintang Manchester City, Vincent Kompany turut mengumpul 14 mata keseluruhan, tetapi menghuni kedudukan kesembilan. – SM

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button