Hina pasukan keselamatan, elok tukar ‘Unity’ ke ‘Hate’
PARTI Warisan disarankan agar menukar tema ‘Unity’ yang dilaungkan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah kepada ‘Hate’
Cadangan itu dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan selepas calon parti itu, Datuk Mohamaddin Ketapi mendakwa pasukan keselamatan berperang dengan ayam dan anjing dalam peristiwa berdarah di Tanduo.
Shahril berkata, kenyataan yang dibuat oleh calon Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Segama itu sebagai gila.
“Sembilan orang pasukan keselamatan dan enam rakyat biasa terbunuh. Ramai lagi yang cedera. Ramai yang masih trauma dan melihat dengan mata sendiri apa berlaku. Tidak ada sesiapa pun baik saksi, media tempatan atau media luar yang ada kesangsian bahawa tragedi, pencerobohan dan perang tersebut benar-benar berlaku.
“Boleh pulak dia kata ini semua sandiwara? Ini kenyataan gila. Sebelum ini saya menyangka Warisan menghasut secara halus dengan mesej untuk menolak kononnya parti Malaya. Tapi ini sudah masuk kepada kebencian terbuka pada satu tahap yang tak masuk akal,” kata Shahril.
Justeru Shahril berkata, slogan ‘unity’ (perpaduan) yang dilaung-laungkan oleh parti Warisan ditukar kepada ‘Hate’ (kebencian).
Menurutnya, tema ‘Unity’ yang terpampang di papan iklan gergasi di serata Sabah tidak lagi mempunyai nilai.
“Unity apa sehingga menghasut dan menghina rakyat dan wira Malaysia? Sewaktu pasukan keselamatan beraksi mempertahan kedaulatan di Tanduo, tidak seorang pun yang fikir saya orang Terengganu, saya orang Selangor, saya orang Sabah.
“Mereka wira Malaysia yang mempertahankan tanah dan nyawa warganegara dari ancaman luar. Ada yang terbunuh. Rakyat tempatan juga ada yang terkorban. Tetapi semua berkongsi kesedihan kerana ini bukan soal sentimen kenegerian. Ini soal kedaulatan dan pengorbanan untuk sebuah negara bernama Malaysia dan rakyatnya yang pelbagai.
“Saya syorkan Warisan tukar billboard dari “Unity” ke “Hate”. Kerana itu sebenarnya modal politik mereka,” kata Shahril.
Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu dalam satu klip video mendakwa peristiwa yang berlaku di Tanduo, Sabah pada tahun 2013 hanyalah sandiwara.
“Kamu ingat dahulu PRU dahulu dia bilang Filipina mau ambil Sabah jadi ada peperangan konon di Tanduo datang la jet di Tanduo dibomnya sana kelapa sawit orang. Habis kelapa sawit orang.
“Habis rumah orang ditembak. Ini kenyataan. Habis di Tandou disuruh kereta kebal masuk pergi kampung-kampung suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang? Tidak ada. Ayam sama anjing dia berperang.
“Apabila habis pilihan raya sudah tidak ada pulak peperangan itu,” kata Mohamaddin dalam klip video yang tular di media sosial hari ini.-SM