Oleh Muhammad Syakir Idris
Tanggal 1 April 2020, Malaysia mencatatkan 2908 kes dari keseluruhan Covid-19. Sebanyak 2218 kes masih dirawat manakala 645 kes telah sembuh.
Namun, jumlah kematian dilihat semakin meningkat kepada 45 kes kematian. Persoalan di benak semua orang ketika ini ialah, adakah penularanwabak Covid-19 ini akan berakhir?
Apakah hikmah disebalik krisis Covid-19 ini? Mungkinkah ia antara lain menyediakan kita dengan ruang unutk memperbaiki dan bermuhasabah diri? Atau sebaliknya?
Sebelum wabak Covid-19 ini melanda, kita semua terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga kadang–kala terlupa tentang kewajipan yang perlu kita tunaikan sebagai seorang Muslim.
Oleh itu, marilah kita sama-sama memanfaatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020 untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Marilah kita sama-sama memastikan sempurna solat lima waktu, kerap membaca Al-Quran dan melakukan ibadah-ibadah sunat yang lain sebanyak mungkin. Hakikatnya, kita tidak lagi ada alasan untuk meninggalkan kewajipan sebagai hamba-Nya
Wabak Covid-19 ini juga menyebabkan kita sedar peri pentingnya menjaga kebersihan diri. Mungkin sebelum ini, perkataan atau bentuk hand sanitizer itu sendiri adalah sangat asing bagi kita.
Kini, majoriti farmasi, kedai runcit dan pusat beli–belah kehabisan stok hand sanitizer. Situasi ini, antara lain, menunjukkan bahawa isu kebersihan perlu dijadikan agenda paling utama dalam menjalani kehidupan seharian
Bukan sahaja dalam konteks kebersihan individu, malah juga secara kolektif sama ada di kawasan kediaman, perumahan mahupun tempat kerja.
Hikmah seterusnya yang boleh kita fikirkan ialah tentang pentingnya hubungan sosial dalam institusi kekeluargaan. Selain daripada memperbaiki hubungan kita dengan Allah, inilah peluang emas untuk kita mempererat hubungan sesama Ahli keluarga.
Mungkin sebelum ini keadaan memaksa ramai daripada kita mengabaikan keluarga. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat.
Sering kita membaca mengenai remaja/anak-anak muda yang terlibat dengan gejala sosial ataupun tingkah lakudevian seperti vandalisme, gengsterisme, penyalahgunaandadah dan sebagainya akibat kurangnya kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa.
Maka, marilah kita sama-samasepanjang PKP ini mengambil kesempatan meluangkan masa sepenuhnya dengan keluarga. Sesungguhnya, persekitaran penuh kasih sayang ini adalah penting dalam melahirkan generasi masyarakat yang positif dan punya tahap kesihatan emosi yang stabil.
Apapun, sebagai umat Islam, kita seharusnya bersangka baik dengan Allah. Penularan wabak penyakit Covid-19 ini bukanlah semata-mata berlaku atas izin-Nya untuk membinasa, akan tetapi ia juga membawa rahmat-Nya dan hikmah.
Apa jua jawatan dan latar belakang kita, marilah kita bersama sentiasa bersabar dan bersyukur. Jika kita bukan di barisan hadapan, sekurang-kurangnya marilah kita saling saling berpesan sesama kita untuk “DUDUK DI RUMAH” demi mematahkan penularan Covid-19.
Dengan izin-Nya, kitasemua pasti berjaya mengharungi semua ini. Insya-Allah.
PENULIS adalah Pensyarah PTFT, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Sabah