Hasil kerajaan 2019 meningkat: Beri peluang PH tadbir semula
PELUANG harus diberikan semula kepada PH untuk mentadbir negara ini berikutan laporan Ketua Audit Negara menunjukkan hasil hasil Kerajaan Persekutuan melonjak 13.5% atau RM31.5 bilion ke RM264.4 bilion pada 2019
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, peluang mentabir semua itu perlu diberikan supaya agenda ekonomi yang tuntas dapat diteruskan untuk memulihkan ekonomi negara terutama berhadapan pandemik Covid-19.
“Laporan Ketua Audit Negara tahun 2019 adalah bukti kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menunaikan janji manifesto untuk memulihkan ekonomi negara.
“Prestasi baik ini mampu dicapai walaupun cukai GST dihapuskan dan cukai korporat untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dikurangkan.
“Strategi PH mengurangkan impak cukai terhadap rakyat berpendapatan rendah dan perniagaan berskala kecil, dan pada masa yang sama, mengurangkan ketirisan dalam kutipan cukai, jelas berkesan,” kata Faiz.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, kemampuan PH meningkatkan hasil negara melalui dasar-dasarnya seharusnya dipandang tinggi oleh rakyat negara ini.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ternyata gagal untuk menguruskan ekonomi negara dengan mampan apabila MIDF melaporkan setakat akhir Oktober 2020 sahaja, aliran keluar bersih dana asing melonjak ke RM23 bilion berbanding RM11.14 bilion bagi tahun 2019.
“Justeru pentadbiran PH yang bersih dan cekap ini harus menjadi pilihan rakyat. Jadikan perjuangan membenam kleptokrasi pimpinan (Datuk Seri) Najib Razak bukan sesuatu yang sia-sia,” kata Faiz.
Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, berkata perbelanjaan mengurus yang diluluskan pada tahun lalu berjumlah RM260.5 bilion, manakala perbelanjaan sebenar berjumlah RM263.3 bilion.
Bekas Perdana Menteri, Najib sebelum itu berkata, hasil tinggi yang diperolehi kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tahun lalu sebahagian besarnya disumbangkan dividen Petronas sebanyak RM54 bilion seperti yang dilaporkan oleh Laporan Juruaudit Negara.
Petronas menyumbang RM38 bilion lebih tinggi berbanding semasa Barisan Nasional (BN) berkuasa.
Katanya, pemimpin PH menipu rakyat dengan mendakwa prestasi kerajaan pimpinan mereka baik disebabkan hasil kerajaan sedangkan hutang kerajaan tahun lalu ialah yang tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM792.9 bilion berbanding RM741 bilion pada 2018 dan RM686.8 bilion pada 2017 ketika pentadbiran BN.
Laporan Ketua Audit Negara mengesahkan bahawa jumlah keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan pada 2019 adalah RM1.021 trilion.
Daripada jumlah itu, hutang negara adalah RM741 bilion manakala komitmen kewangan lain berjumlah RM280 bilion.-SM