Nasional

Harimau berkeliaran di Gua Musang bukan sebab pembalakan

FAKTOR harimau belang kerap masuk perkampungan Orang Asli di Gua Musang sejak kebelakangan ini bukan disebabkan aktiviti pembalakan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ini kerana sebelum ini pun wujud kes lain dan harimau juga dikatakan muncul di kem pembalakan.

Katanya, dakwaan itu adalah satu tohmahan lagi pula hanya baharu satu kes berlaku.

“Baru (ada) satu kes, kalau kes banyak mungkin betul (punca pembalakan).

“Hendak siasat dan cari sebab itu bagus, tetapi jangan cepat buat kesimpulan dengan mengatakan (harimau) keluar disebabkan pembalakan. Itu tidak betul,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di Kota Bharu hari ini seperti yang dipetik dari Harian Metro.

Mohd Amar berkata, penyiasatan dan kajian boleh dilakukan untuk mengetahui punca kehadiran harimau itu.

“Langkah-langkah penangkapan juga sedang dilakukan agensi yang terbabit bagi memastikan keadaan kembali terkawal. Agensi itu juga memaklumkan kepada kami, harimau berkenaan sudah tua dan tidak mampu mengejar binatang lain.

“Disebabkan itu, haiwan terbabit akan mencari inisiatif makanan yang lebih mudah tanpa berburu. Kita juga tunggu maklumat terkini daripada agensi yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sekumpulan Orang Asli dari Gua Musang yang menyerahkan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri untuk kerajaan mencari jalan penyelesaian segera bagi memastikan keselamatan mereka terjamin daripada serangan binatang buas.

Mereka berpendapat, pelbagai kejadian boleh berlaku sekiranya kerajaan tidak menghentikan segera kegiatan pembalakan yang didakwa menjadi punca ekosistem haiwan liar itu terganggu.

Pada masa sama, ketika ditanya mengenai spesis binatang berkenaan yang semakin pupus, Mohd Amar berkata, undang-undang sudah ada dan setakat ini tiada pemburuan haram berlaku dan keselamatan habitat asal harimau juga tidak terjejas.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button