Nasional

Hari Seniman Negara disambut 22 Mac, sempena tarikh lahir P. Ramlee

Getaran jiwa melanda hatiku. Tersusun nada, irama dan lagu. Walau hanya sederhana tetapi tak mengapa. Moga dapat membangkitkan, sadarlah kamu wahai insan. Tak mungkin hilang, irama dan lagu. Bagaikan kembang, sentiasa bermadu. Andai dipisah lagu dan irama. Lemah tiada berjiwa, hampa.

DI ATAS adalah antara bait-bait lagu berjudul GETARAN JIWA dari salah satu filem Melayu Klasik lakonan Allahyarham Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee yang sentiasa melekat dalam jiwa dan sanubari anak-anak seni.

Sambutan Hari Seniman Negara akan diadakan pada setiap 22 Mac iaitu bersempena dengan tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, signifikan perubahan tarikh daripada 29 Mei ke 22 Mac sambutan Hari Seniman Negara ini adalah untuk memperingati jasa serta sumbangan Seniman Agung Allahyarham P. Ramlee terhadap industri kreatif negara.

“Hari Seniman Negara ini juga mengangkat karya-karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang bukan sahaja telah berjaya melahirkan lebih ramai tokoh dan pakar industri kreatif malahan memperkenalkan Malaysia di mata dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, cadangan pertukaran tarikh daripada 29 Mei ke 22 Mac tersebut telah diteliti dan pandangan serta maklum balas daripada pelbagai persatuan, pertubuhan berkaitan telah diambilkira.

Dan seterusnya mendapat kelulusan Memorandum Jemaah Menteri yang diusulkan oleh Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM), ujarnya.

Selain mengiktiraf kecemerlangan penggiat industri kreatif yang terlibat dalam bidang seni, Hari Seniman Negara juga, jelas Anuar, disambut dengan tujuan tertentu.

“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan apresiasi masyarakat terhadap peranan seni budaya dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki jati diri serta menghargai seni budaya negara tanpa mengira bangsa khususnya ke arah penyatuan Keluarga Malaysia.

“Sempena Hari Seniman Negara ini, KKMM turut berhasrat untuk menjalin kerjasama strategik dengan pemegang-pemegang taruh dalam penganjuran Majlis Pelancaran Hari Seniman Negara pada 22 Mac 2022.

“Ia juga bagi menghargai sumbangan dan peranan penggiat industri kreatif tanah air khususnya dalam membangun negara menerusi aktiviti seni, kreatif dan budaya serta usaha Kerajaan memartabatkan industri kreatif ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.

Tidak ada cacat celenya Keluarga Malaysia diberi kesedaran tentang nilai seni yang ditinggalkan oleh P.Ramlee yang sehingga kini tiada galang ganti.

Oleh itu, Annuar berkata, nilai seni yang ditinggalkan itu bukan sahaja terletak pada karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam industri perfileman sebagai pengarah sebaliknya dalam banyak elemen.

“Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seorang pelakon, penggubah lagu, penulis lirik, pemuzik dan pelawak yang sangat hebat malah juga sebagai pemuisi,” kata Annuar.

Maka itulah Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menjadi khazanah negara yang sangat berharga dan malar segar sehingga masa kini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button