fbpx
Nasional

Harga tiket penerbangan melambung: Rakyat Sabah, Sarawak rasa terkilan

Penerbangan domestik tambang murah cecah RM1,200

“TOLONGLAH jangan ambil kesempatan terhadap kami yang ingin pulang bertemu keluarga di Sabah dan Sarawak”.

Itu antara keluhan rakyat negeri Sabah dan Sarawak yang terkejut melihat harga tiket penerbangan yang naik secara mendadak sehingga ada yang tidak mampu untuk membelinya.

Seorang anak kelahiran Kuching, Sarawak yang hanya mahu dikenali sebagai Maria berkata, harga tiket untuk penerbangan Air Asia ke Kuching mencecah hingga RM1,200 bagi perjalanan pergi balik.

“Memang terlalu mahal. Kalau sebelum ini, harga tiket RM150 pun kita sudah boleh dapat untuk perjalanan pergi dan balik.

“Sudahlah lama tak dapat bertemu dengan orang tua, tiket pula mahal sebegini. Memang kena fikir banyak kali,” katanya kepada SUARA MERDEKA.


Sementara itu, seorang lagi rakyat Sabah, Rashidah juga melahirkan rasa kecewa selepas melihat harga tiket Malaysia Airlines ke Tawau mencecah hampir RM2,000.

“Kita faham dengan keadaan situasi sekarang di mana ramai yang ingin pulang ke kampung halaman.

“Tapi janganlah naik harga sampai macam ini. Seolah-olah mengambil kesempatan pula,” jelasnya.

Tambahnya, ada rakan-rakan yang ingin pulang ke Sabah disebabkan kehilangan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun rasa terkilan dengan apa yang berlaku.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pengangkutan sedang berbincang dengan syarikat penerbangan berhubung isu harga tiket penerbangan domestik yang dikatakan mahal terutamanya ke Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, hasil perbincangan akan diberitahu dalam masa terdekat. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button