Harga durian dijangka naik dua kali ganda
JASIN: Penggemar durian perlu bersedia untuk membayar hampir dua kali ganda untuk buah kegemaran mereka, terutama durian premium seperti Musang King dan Black Thorn, pada musim durian ini.
Timbalan menteri pertanian dan industri makanan Ahmad Hamzah berkata: “Persatuan penanam durian telah mengeluarkan laporan bahawa bukan sahaja harga durian Black Thorn dan Musang King akan naik, tetapi juga durian kampung.”
Harga Black Thorn dijangka melebihi RM100 sekilogram manakala Musang King berharga sekitar RM60 hingga RM80 sekilogram, bergantung kepada gred, berbanding RM30 hingga RM40 sekilogram sebelum ini.
Kenaikan harga itu adalah hasil daripada penurunan pengeluaran durian sebanyak 50% disebabkan oleh keadaan cuaca.
“Kami percaya musim hujan pada akhir Mac hingga April telah menjejaskan pendebungaan durian, dan jumlah buah yang dikeluarkan. “Kami menjangkakan faktor ini akan mengakibatkan penurunan sebanyak 50% dalam jumlah pengeluaran di beberapa negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Peningkatan kos baja dan buruh juga telah menjejaskan pengeluaran Raja Buah-buahan.
“Setakat ini, Pulau Pinang dan Perak telah mengalami penurunan pengeluaran sebanyak 50%,” katanya. Beliau berkata kementerian juga telah mendapatkan maklum balas daripada Agensi Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Pulau Pinang dan Perak mengenai anggaran kenaikan harga di negeri berkenaan.
Ahmad berkata kementerian tidak mengawal harga durian kerana ini ditentukan oleh pengeluaran dan bekalan.