BeritaPolitik

Harapan rakyat terbang bersama drone tetapi dikatakan kereta terbang

POLITIK negara minggu ini memasuki episod semakin panas selepas Pakatan Harapan tumpas dengan majoriti besar iaitu lebih 15,000 undi di pilihan raya kecil Tanjung Piai. Walaupun bukan ia punca utama kepada peningkatan suhu itu, tetapi ia adalah penyumbang besar.

Perkara pokok adalah untuk mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa selepas 18 bulan pembangkang merampas kerajaan buat pertama kali yang dipegang  oleh Barisan Nasional (BN).

Segala kesalahan kini termasuk kekalahan di Tanjung Piai dan masalah ekonomi negara tiba-tiba sahaja diletak di atas pundak Perdana Menteri, sedangkan ia adalah tanggungjawab secara kolektif yang harus dipikul bersama.

Kelemahan Dr. Mahathir apabila menjadi Perdana Menteri buat kali kedua adalah usia beliau yang telah lanjut. Ramai yang memilih untuk lebih memihak kepada bakal pengganti yang secara relatif lebih muda iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tiba-tiba semalam negara memasuki episod cemas apabila Dr. Mahathir mengalami pendarahan hidung. Bagi orang biasa ia tidak terlalu serius, tetapi bagi seseorang berusia lebih 90 tahun dan mempunyai sejarah kesihatan termasuk masalah jantung ia menakutkan.

Tetapi kehadiran Perdana Mahathir pada majlis di sebelah malamnya melegakan rakyat Malaysia.

Jika dilihat di pihak UMNO mereka masih berlembut dalam mengulas peranan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membawa gerombolan ahli parlimen Barisan Nasional bertemu dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Sebenarnya UMNO tidak dapat berbuat apa-apapun. Takkanlah dalam keadaan tidak stabil UMNO hendak memecat pemimpinnya.

Dari segi Pakatan Harapan yang disifatkan dalam keadaan retak menunggu belah kita dapat melihat ulasan para pemimpinnya kebanyakannya tidak lagi menyebelahi Dr. Mahathir. Ceritanya sama adalah demi kepentingan negara, sedangkan ia lebih kepada sifat tamak untuk merebut kuasa.

Jika mereka bersama-sama dengan Dr. Mahathir memperbaiki negara termasuk aspek ekonomi dan bukan sibuk membawa gerombolan keluar negara tanpa membawa hasil dan melancong bersama keluarga situasinya akan berbeza.

Penggal pertama berkuasa sepatutnya digunakan untuk bekerja keras menunaikan segala janji dan membuktikan kerajaan hari ini adalah lebih baik. Bukannya sibuk untuk menghabis serta menggunakan segala kemudahan yang ada dan pada masa yang sama berebut segala macam projek seolah-olah mereka sendiri tidak yakin akan dapat bertahan untuk penggal seterusnya.

Apabila pemerintahan dilanjutkan ke penggal kedua oleh rakyat, barulah boleh sedikit berbulan madu. Tetapi kini terbalik apabila menang sahaja masing-masing sibuk berbulan madu dan mencari projek untuk memenuhi kebutuhan diri sendiri dan permintaan para penyokong.

Lantaran kebanyakan projek telah dibolot oleh kerajaan terdahulu, terpaksalah mereka mereka cipta projek entah apa-apa termasuklah kereta terbang yang menyaksikan duit rakyat terbang bersamanya.

Orang politik mereka tidak pernah rasa berdosa kerana sentiasa akan alasan untuk memutihkan dosa mereka dan membolehkan mereka tidur lena setiap malam, walaupun mereka meranapkan legasi puluhan tahun negara.

Rakyat kini amat gusar untuk memberi kepercayaan kepada para pemimpin UMNO kembali berkuasa kerana belang mereka kembali menyerlah walaupun baharu berjaya memenangi empat pilihan raya kecil sehingga mereka mudah lupa dan hilang keinsafan dihukum pada pilihan raya umum lalu.

Dalam hal ini Sarawak mengambil keputusan yang tepat kerana mereka mencipta blok politik sendiri iaitu Gabungan Parti Sarawak atau GPS dan sudah tentu mereka terselamat daripada sikap yang menjengkelkan pemimpin dari Pakatan Harapan atau Barisan Nasional.

Jadi tidak hairan jika pilihan raya negeri diadakan tahun hadapan rakyat Sarawak akan mengekalkan blok berkenaan dan meninggalkan rakyat di Semenanjung terkial-kial dan hanya mampu mengurut dada melihat gelagat pemimpin mereka.

Banyak juga pergerakan dan pertubuhan bukan kerajaan cuba menghidupkan kuasa ketiga, tetapi sokongannya hanya diperolehi segelintir masyarakat kerana majoriti rakyat negara ini belum terbiasa dengan kuasa ketiga iaitu kuasa rakyat dan bukannya kuasa orang politik.

Dengan sikap pemimpin seperti Hishammuddin ramai tidak terkejut Pas akan mengkaji semula Muafakat Nasional yang baharu termeterai. Belum berkuasa sudak mempamerkan sikap yang menjengkelkan, apatah mereka berkuasa dan kuat, apalah nasib Pas selepas itu.

Pada masa ini bila ditegur akan dicap sebagai batu api, itulah tanda-tanda mereka yang hidup dalam penipuan dan penafian.

 

“Tuduhan yang saya mengetuai pertemuan antara Azmin dan Ahli Parlimen BN semalam tidak benar sama sekali.

“Bukan saya yang rancang pertemuan tersebut namun jika Lembaga Disiplin UMNO nak siasat saya, saya sedia disiasat. Tiada apa saya hendak sembunyikan,”

Cuma Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sahaja yang mengeluarkan kenyataan keras dengan menuduh Hishammuddin sebagai pengkhianat.

“Sebelum ini Hisham bermaharaja menjadi orang tengah Tun Mahathir untuk membawa masuk pimpinan dan MP UMNO ke PPBM tanpa sebarang tindakan disiplin daripada pimpinan UMNO. Setiap kali bila diajukan soalan kenapa beliau menghasut MP UMNO untuk menyertai PPBM, beliau kerap memberi alasan beliau mengepung MP-MP BN bagi mengelakkan mereka menyertai PPBM.

“Namun hari ini, apa pula alasan yang mahu beliau berikan apabila beliau membawa 22 orang MP BN ke rumah Azmin Ali di Presint 8, Putrajaya? Walaupun bukan semua 22 MP ini menyokong Mahathir, tidakkah beliau sedar betapa kecewanya ribuan jentera BN dan PAS yang berkerja keras di Tanjung Piai apabila beliau melakukan pengkhianatan ini,” 

Jika dilihat senarai wakil rakyat UMNO yang hadir dalam perjumpaan itu memang jelas mereka terdiri daripada yang pernah memegang jawatan sebagai menteri kabinet dan menteri besar.

Dua kemungkinan menyebabkan mereka terdesak sehingga mencampakkan maruah ke dalam longkang ialah mereka bakal berdepan tindakan undang-undang dan dengan berbaik-baik dengan kem kerajaan akan dapat mengelak daripada dikenakan tindakan.

Kedua mereka berada dalam keadaan terdesak kerana masalah kewangan untuk meneruskan cara hidup ketika berkuasa dan dijulang sebagai pemimpin kerajaan, walaupun jika ditanya tentulah alasan yang diberi ialah kebaikan negara serta rakyat, sedangkan rakyat khususnya penyokong sangat sakit hati apabila melihat gelagat mereka.

“Saya bertemu dengan rakyat, dengan masyarakat perniagaan, dengan ahli Parlimen sama ada dalam Pakatan Harapan (PH) atau bukan PH.

“Ini penting kerana sebagai sebuah kerajaan yang peduli rakyat, kita ingin dapatkan maklum balas daripada rakyat, daripada masyarakat perniagaan tentang apakah penerimaan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan.

“Bagi saya ini bukanlah satu perkara yang luar biasa, yang kita harus gembar-gemburkan,”

“Saya tidak tahu, sebab itu saya minta lebih baik beri penjelasan. Kalau atas kapasiti parti atau kerajaan, mengapa Ahli Parlimen lain tidak diundang?”

 

“Saya anggap masa pertemuan itu kurang tepat, kurang bijaksana kerana PH adalah politik yang terjalin atas dasar politik saling mempercayai dan hormat-menghormati.

“Jadi sebarang tindak tanduk yang mengundang kepada persepsi yang boleh timbulkan kecurigaan dan kesangsian, maka adalah paling bijak jika ia dapat dielakkan,”

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button