Jangan Menyerupai Orang Kafir, Haram Sambut Perayaan Halloween 31 Oktober!
PERAYAAN Halloween disambut dikebanyakan negara bukan Islam dengan memakai kostum yang menyeramkan pada 31 Oktober setiap tahun.
Pencetus Ummah dan pendakwah bebas, PU Syed telah berkongsi di Instragramnya bahawa perayaan tersebut adalah haram kerana gterdapat unsur-unsur tasyabbuh yang tidak dibenarkan di dalam Islam.
“Hukum menyambut Halloween atau berpakaian dan sebagainya bagi umat Islam adalah haram kerana terdapat unsur-unsur tasyabbuh yang tidak dibenarkan di dalam Islam.
“Diharapkan dengan pencerahan ini dapat memberikan faedah dan manfaat dalam beragama dan diharapkan anak-anak muda dapat menghindarkan diri dari terjebak ke dalam kancah maksiat ini. Wallahu a’alam,” kongsinya.
PU Syed juga memberikan link rujukan mufti mengenai hal tersebut yang bertajuk “Irsyad Al-Fatwa Ke-91: Hukum Menyambut Perayaan Halloween.
Rasulullah SAW telah melarang kita dari menyerupai orang kafir. Sabda Baginda SAW dari hadis Ibn Umar R.Anhuma:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”.
Riwayat Abu Daud (4031)
“Berdasarkan hadis di atas maka seorang Muslim itu dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat atau adat perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai perkara-perkara tersebut.
“Al-Imam al-San’ani Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. [Subul al-Salam. Dar al-Hadis, 2/647]
“Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i’tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. [Faydh al-Qadir. Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 6/104]
“Jelas di sini bahawa perayaan Halloween merupakan tasyabbuh kepada golongan kafir dari segi i’tiqad, perbuatan dan juga pemakaian yang mana sedia maklum selalunya bagi mereka yang menyambut perayaan ini akan mengenakan kostum-kostum tertentu bersesuaian dengan hari Halloween.
Sementara itu, menjengah di ruangan komen, ramai yang mengucapkan terima kasih kepada PU Syed atas penjelasan mengenai hal tersebut. -SM