fbpx
Politik

Hanya PM boleh selesaikan kemelut politik – UMNO Johor

UMNO Johor berpandangan bahawa hanya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin boleh menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku ketika ini.

Bendahari UMNO Johor Datuk Md. Jais Sardy berkata, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional harus  berjiwa besar dalam menyelesaikan kekusutan politik yang turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi saya, kemelut politik ini hanya boleh diselesaikan oleh YAB Perdana Menteri sahaja, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional.

“YAB Perdana Menteri sewajarnya menunjukkan sikap berjiwa besar di sebalik panggilan manja “abah” yang membawa pengertian seorang bapa yang penyayang.

“Saya yakin dan percaya kepimpinan tertinggi UMNO tidak akan sekali-kali lari dari landasan untuk menyokong kerajaan tanpa DAP,” kata Md. Jais.


Beliau berpandangan, kemelut politik berlaku berikutan kebimbangan Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti.

Ini selepas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan mengapa Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak memberi laluan kepada Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri untuk dibahaskan di Parlimen.

Md. Jais yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang berkata, Muhyiddin juga bimbang berikutan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap Yang di-Pertuan Agong mempersembahkan sokogan dan juga disebabkan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi bahawa beliau tidak dapat menghalang ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar.

“Oleh itu, kemelut ini tidak boleh dilihat hanya UMNO sahaja seolah-olah menjadi puncanya.  Keikhlasan UMNO memberikan 11 “kerusi lompat” kepada PPBM adalah bukti UMNO sedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional.

“Saya melihat, tuntutan utama UMNO hanya dua sahaja, pertama; semua bentuk kerjasama UMNO/BN dan PPBM/PN hendaklah ditulis dengan nyata supaya boleh dijadikan panduan oleh keduanya, dan kedua; melihat semula anggota Kabinet supaya kahadiran UMNO itu melambangkan kerjasama yang kuat dalam kerajaan,” kata Jais.

Semalam Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya ahli politik berhenti berpolitik sebaliknya menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap masalah rakyat.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

“Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Baginda bertitah demikian selepas mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang membincangkan cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan penyisytiharan darurat semalam. Cadangan tersebut tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.-SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button