Hanya media arus perdana dibenar liput persidangan Dewan Rakyat
Pentadbir Parlimen Malaysia memutuskan bahawa hanya 15 organisasi media yang dibenarkan membuat liputan persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 2 November ini.
Sebab yang dinyatakan untuk keputusan itu adalah untuk mengekang penularan Covid-19 dan memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Semua organisasi media yang diluluskan hanya dibenarkan menghantar seorang wartawan dan seorang jurugambar atau juruvideo.
Petugas juga mesti menjalani ujian swab RT-PCR pada 30 Oktober dan mengemukakan keputusan ujian pada 2 November.
Organisasi media yang diluluskan adalah seperti berikut:
1. RTM
2. Bernama
3. TV Al-hijrah
4. TV3
5. NST
6. Berita Harian
7. Astro Awani
8. Utusan Malaysia
9. Sinar Harian
10. The Star
11. The Sun
12. Sin Chew Daily
13. Nanyang Siang Pau
14. Malaysia Nanban
15. Channel News Asia
Organisasi media yang tidak disenaraikan disarankan untuk menghubungi agensi berita Bernama dan RTM milik kerajaan untuk mendapatkan bahan.
Untuk rekod, berdasarkan senarai itu, parlimen memperuntukkan empat tempat kepada organisasi yang dimiliki oleh Media Prima Bhd (TV Al-hijrah, TV3, NST dan Berita Harian) dan dua tempat kepada Sin Chew Media Group (Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau).
Ketetapan untuk liputan media pada sidang akan datang ini jauh lebih ketat berbanding persidangan terakhir yang bermula pada Julai, di mana terdapat had jumlah kakitangan maksimum dari setiap organisasi, tetapi bukan had jumlah organisasi media.
Sidang parlimen kali ini penting kerana Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada 6 November dan undian akan diadakan pada 23 November.
Undian tersebut akan menentukan sama ada Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti atau tidak untuk terus menjadi perdana menteri.