Sukan

Hanya Aaron Chia-Soh Wooi Yik kibar cabaran Malaysia di separuh akhir

Kejohanan Badminton Dunia 2022 Tokyo, Jepun

Hanya beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih
meneruskan kibaran cabaran Malaysia di Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun apabila pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

Kehebatan beregu utama negara itu tiada tandingan buat pasangan Korea Selatan menerusi Seo Seung Jae-Choi Sol Gyu apabila menang mudah 21-18, 21-16 di saingan suku akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo hari ini.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik sudah pasti sebutir pingat bakal dalam
genggaman dan bakal berdepan pasangan nombor tujuh dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Pasangan India itu layak ke separuh akhir selepas melakukan kejutan menyingkirkan juara bertahan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 24-22, 15-21, 21-14.

Aaron-Wooi Yik dijangka tidak berdepan tugas getir bertemu beregu dari India itu berdasarkan rekod pertemuan sebanyak lima kali memihak kepada pasangan negara termasuk dalam acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel Birmingham membantu Malaysia meraih pingat emas.

Kali terakhir Malaysia menempatkan wakil pada perlawanan akhir
beregu lelaki dalam Kejohanan Dunia adalah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di Paris 2020.

Begitupun, sandaran ke atas dua beregu campuran untuk melangkah keseparuh akhir tidak kesampaian apabila gandingan Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terkandas di suku akhir.

Soon Huat-Shevon Jemie gagal menyaingi kehebatan beregu tuan rumah yang juga pilihan ketiga menerusi gandingan Yuta Watanabe-Aris Higashino apabila mereka tunduk 17-21, 13-21.

Nasib yang sama juga turut menimpa Kian Meng-Pei Jing apabila tewas kepada pilihan pertama Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China dengan keputusan 9-21, 9-21.

Dalam acara perseorangan lelaki pula, pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen yang juga pilihan pertama menepati ramalan melangkah ke separuh akhir apabila menewaskan jaguh dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting 21-10, 21-10.

Di separuh akhir Axelsen akan berdepan jaguh dari Taiwan, Chou Tien Chen selaku pilihan keempat yang menyingkirkan Jonathan Christie dari Indonesia, 14-21, 21-11, 22-20.

Dalam saingan perseoranga separuh akhir yang lain pula, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand selaku pilihan ke-16 akan berdepan pemain bukan pilihan dari China, Zhao Jun Peng. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button