HANRUH pastikan keselamatan negara terpelihara dalam apa jua keadaan – Raja Muda Perlis
KONSEP “Pertahanan Menyeluruh” atau ‘HANRUH’ yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1986 merupakan kaedah bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara walaupun negara menghadapi kekangan dari aspek kemampuan kewangan.
Konsep ini juga meletakkan tanggungjawab memelihara keselamatan bukan sahaja terletak dibahu warga pasukan keselamatan semata-mata tetapi juga oleh seluruh warganegara Malaysia.
Salah satu elemen perkongsian tanggungjawab ini adalah melalui penglibatan orang awam di dalam pasukan Rejimen Askar Wataniah.
Antara peluang sebagai pegawai Rejimen Askar Wataniah pula diwujudkan melalui organisasi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di universiti-universiti awam seluruh negara.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyertai program kayuhan berbasikal sempena sambutan ‘Hari Ulangtahun Rejimen Askar Wataniah ke 62 pada 1 Jun lalu’ sejauh 20km yang bermula di Dewan Kolej Vokasional Kangar (KVK) pagi semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Komander rejimen yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri Perlis, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak dan Pengarah KVK, Mohamad Yatim Abu Bakar.
Program tahunan yang disekalikan dengan kayuhan ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kali ini terpaksa diubahsuai dengan melibatkan hanya penyertaan seramai lapan orang peserta sahaja berbanding biasa bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih lagi berkuat kuasa sehingga kini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen itu turut berkongsi pengalaman baginda mengetuai satu delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategik Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke Pakistan’ selama tiga hari pada bulan Februari 2020 yang lalu.
Kunjungan tersebut turut disertai oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan beserta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, TYT Ikram Mohamad Ibrahim dan Kolonel Abu Hashim Jamaludin selaku Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad.
Negara Pakistan mempunyai saiz ketumbukan tentera yang ke-enam terbesar di dunia. Model yang digunapakai untuk melatih bakal-bakal pegawai angkatan tentera mereka adalah selain dilatih dengan ilmu ketenteraan, mereka juga dibekalkan dengan pendidikan akademik sehingga menerima kelulusan ijazah pertama sebelum ditauliahkan.
Angkatan Tentera Pakistan juga amat menitikberatkan aspek kepimpinan ketika latihan asas bagi menyediakan bakal pegawai yang mempunyai nilai disiplin yang tinggi supaya dapat memimpin melalui pengaruh dan teladan yang baik kepada para anggota bawahan.
Antara lokasi yang dikunjungi baginda di sekitar Rawalpindi dan Islamabad adalah ke Markas Tentera Darat Pakistan, Pakistan Military College of Signals, Pakistan National Defence University – NDU serta Pakistan National University of Sciences and Technology yang menjadi pelopor kepada kerjasama latihan ketenteraan dan bidang akademik Angkatan Tentera Pakistan.
Pelbagai perkongsian maklumat berjaya diperbincangkan selain mendapat pengalaman secara terus bagi mencetuskan inspirasi kepada para pemimpin PALAPES UA Malaysia yang turut serta bagi membuat pelbagai penambahbaikan kepada mutu latihan serta penerapan nilai-nilai patroitisma kepada bakal-bakal pegawai tauliahan PALAPES di seluruh negara di masa hadapan nanti. – SM