Berita

Askar Wataniah pelengkap HANRUH – Raja Muda Perlis

Kewujudan Rejimen Askar Wataniah dalam konteks Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), merupakan satu elemen penting dalam pertahanan negara. Tugas pasukan simpanan ini ialah bagi membantu ganti serta mengimbangi dengan kekuatan anggota tetap demi mempertahankan kepentingan strategik dan kedaulatan negara di masa darurat atau perang.

Dalam konteks ini, seluruh rakyat tidak mengira kaum, agama dan pemahaman politik adalah diseru untuk sama-sama menjadikan Askar Wataniah sebagai platform meningkatkan serta mengenal potensi diri di samping mewujudkan jaringan kerja di antara satu sama lain.

Demikian titah saranan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyertai program kayuhan berbasikal ‘504 & UniMAP Fun Ride 2020’ sejauh 10km yang bermula di pintu gerbang Sirkit Merentas Halangan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Rejimen 504 Askar Wataniah Kem Bukit Keteri, Padang Besar pada petang semalam

Program tersebut yang dianjurkan oleh pihak rejimen dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersempena ‘Hari Tentera Darat ke 87’ dan juga ‘Pelancaran Askar Wataniah 2020 Peringkat Rejimen’ disekalikan dengan kayuhan ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 15 bagi tahun ini oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor, Prof Kol (K) Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad yang juga Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UniMAP serta pengurusan tertinggi universiti dan Timbalan Komander rejimen berkenaan, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah turut menambah bahawa peranan media juga diperlukan kerana kepakaran yang dimiliki pengamal media dan teknologi maklumat hari ini, boleh digunakan untuk mewujudkan perkongsian pintar dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Media berperanan sebagai ejen penerangan mempromosikan lagi pasukan ini serta meningkatkan kesedaran orang awam mengenai peranan tentera semasa perang dan semasa aman sekaligus menarik minat lebih ramai orang untuk menyertainya.

Turut diadakan ialah perasmian projek pembangunan sosio-ekonomi asnaf MAIPs yang melibatkan perniagaan gerai makan Ayam Goreng seringgit dan nasi lemak (Lauk rendang ayam, sambal ayam, ikan masin) yang diusahakan oleh Mohd Roslan Hashin, 53 tahun (No Tel : 0196094896) di No 4 Jalan Angsana 4, Taman Angsana, Beseri, yang telah beroperasi sejak tiga tahun yang lalu dan telah pernah mendapat sumbangan MAIPs berupa bantuan peralatan dapur bernilai RM1,968 pada bulan Februari 2020 yang lalu.

Terdahulu Tuanku Syed Faizuddin Putra beserta ahli-ahli kayuhan turut singgah bagi meninjau tapak projek solar ‘LSS Project Bukit Keteri South 30 MWAC Solar PV Project Mukim Chuping’ dan dipersembahkan taklimat oleh Pengurus Ers# Energy Sdn Bhd, Yong Wai Tong. Projek tenaga melibatkan kawasan seluas 130 ekar untuk kegunaan dalam negara ini dijangka memulakan operasinya pada 1 Jun 2020 ini untuk tempoh selama 21 tahun.

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button