Politik

Mahathir sudah `mainkan’ orang UMNO sejak tahun 60-an lagi?

DATUK Nur Jazlan Mohamed percaya tindak tanduk Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mencetuskan cacamarba dalam Pakatan Harapan (PH) seterusnya kemelut politik negara hari ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana bekas Perdana Menteri itu sendiri pernah ‘memainkan’ orang UMNO termasuk ‘memperlecehkan’ pejuang kemerdekaan sejak tahun 60-an lagi.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu mendakwa, tindak tanduk bekas Perdana Menteri ketujuh dan keempat itu berkisar bab tersebut sudah bermula pada tahun 60-an, memasuki 70-an dan seterusnya 80-an.

“Dia (Dr. Mahathir) jemput Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) masuk UMNO dengan angkatannya (ABIM) untuk tarik orang muda menolak Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) yang mendapat sokongan orang muda dalam UMNO ketika itu.

“Selepas itu dia menggunakan Musa (Tun Musa Hitam) yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk menolak Ku Li dalam Kabinet.

“Selepas Ku Li dengan Musa bergabung untuk melawan dia, Mahathir menggunakan Anwar untuk menolak kedua-dua tokoh ini supaya dia selamat di puncak kepimpinan UMNO

“Suatu ketika apabila dia tak berjaya sepenuhnya, dia terpaksa membiarkan UMNO diharamkan (1988) dan buang banyak pejuang kemerdekaan dari parti. Dan pada waktu yang sama, menggunakan Amanah Raya untuk mengambil aset UMNO selepas UMNO diharamkan.

“Ini semua cerita tahun 60-an, 70-an dan 80-an…30 tahun. Dr. Mahathir dah `mainkan’ orang UMNO sejak tahun 60-an dulu.

“Pejuang kemerdekaan macam Tun Razak masih bagi dia peluang untuk benarkan dia masuk balik UMNO tahun 1972 walaupun dia dipecat oleh Tunku  (Tunku Abdul Rahman) dan menjadi ancaman kepada Tun Razak sendiri pasal beri dia peluang. Kalau tidak, dia tak dapat jadi menteri dan bertanding Naib Presiden UMNO dan akhirnya naik ke atas,” kata Nur Jazlan kepada SUARA MERDEKA, baru-baru ini.

Beliau mengulas tindak tanduk Dr. Mahathir yang kini menjadikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sasarannya untuk kembali berkuasa melalui usaha mengemukakan usul undi tidak percaya.

Ramai pemerhati melihat punca kerajaan Pakatan Harapan berpecah belah dan cuma mampu bertahan selama 22 bulan sejak Mei ‪2018 disebabkan kerenah Dr.‬ Mahathir yang tidak terduga terutama meletak jawatan Perdana Menteri Februari lalu.

Malah impian Anwar  yang juga Presiden PKR  untuk menjadi Perdana Menteri  dilenyapkan begitu sahaja oleh Dr Matathir walaupun berjanji berulang kali mahu merealisasikan  perkara itu.

Dakwa Nur Jazlan, Dr Mahathir naik dalam politik disebabkan generasi pemimpin UMNO pejuang kemerdekaan memberikannya  peluang dalam usia muda untuk ke hadapan kerana beliau seorang doktor dan terpelajar ketika itu.

“Tapi lepas itu dia tahu dia kena pakai Anwar dan ABIM nya (Anwar) untuk masuk UMNO dan tolak barisan pejuang kemerdekaan ini yang nampak tembelang dan perangai pentingkan dirinya dulu sebelum parti.

“Sebab tu dia kena guna Anwar untuk tolak Ku Li dengan Musa yang muda 10 tahun darinya yang menjadi pilihan popular berbanding pejuang kemerdekaan yang mengancamnya,” dakwa Nur Jazlan lagi.

Berikutan rusuhan kaum 13 Mei 1969, Dr Mahathir menulis sepucuk surat yang pedas kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, mengkritik beliau kerana pendekatan ekonominya yang lembut atau ‘laissez-faire’ didakwa mengetepikan orang Melayu daripada menikmati hasil pembangunan negara disebabkan dominasi kaum Cina.

Oleh kerana surat itu, beliau dipecat daripada UMNO dan sewaktu dalam `belantara politik’, Dr. Mahathir meneruskan amalan perubatan beliau di bidang swasta dan pemikirannya mengenai nasib orang Melayu ditulis ke dalam buku “Dilema Melayu”.

 

Buku ini diterbitkan di Singapura dan dilarang masuk oleh kerajaan ke Tanah Melayu.

Tunku Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada September 1970 dan Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih.

Pada ‪1972, permohonan Dr‬. Mahathir  untuk menyertai semula UMNO diketuai Tun Abdul Razak telah diterima dan beliau dilantik sebagai Senator pada 1973 serta ahli mahkamah universiti dan Majlis Universiti Malaya.

Pada tahun berikutnya, beliau memenangi kerusi Kubang Pasu tanpa bertanding pada PRU tahun berkenaan sebelum dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan menutup Klinik Maha di Alor Setar.

Pada 1976, Dr. Mahathir dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dua tahun kemudian, beliau mengambil alih jawatan Menteri Perdagangan dan Industri di mana beliau memimpin beberapa misi mempromosi pelaburan.

Dalam UMNO ketika itu, Dr. Mahathir adalah  Naib Presiden nombor tiga apabila dilantik oleh Tun Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri berikutan kematian Tun Razak. Walhal pada ketika itu, Naib Presiden UMNO paling kanan ialah Ghafar Baba, diikuti Razaleigh.

 

Pada 1981, setelah Tun Hussein Onn meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketiga atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri keempat Malaysia.

Di bawah kepemimpinannya, Malaysia berubah dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden. – SM

(Visited 459 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button