Hiburan

Hannah Delisha menangis kenang perjalanan mula berhijab

BARU-BARU ini, pelakon jelita, Hannah Delisha baru-baru ini tampil dengan wajah bertudung di akaun Instagram miliknya.

Gambar tersebut mendapat reaksi yang positif bukan sahaja rakan artis, tetapi juga peminat Hannah yang memuji dan mendoakan penampilan baharu wanita itu.

Semalam, Hannah tampil bercerita mengenai kisah bagaimana dia terbuka hati untuk mengenakan hijab menerusi akaun YouTube miliknya.

Menurutnya, hajat untuk memakai tudung itu timbul pada bulan ramadan lalu ketika semua orang terpaksa patuh dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Masa itu semua kerja ditangguhkan sebab arahan PKP dan saya dapat beri fokus sepenuhnya pada ibadah.

“Ketika itu mula timbul perasaan untuk berhijab. Namun saya ada penggambaran yang perlu diselesaikan selepas tertangguh akibat PKP,” katanya.

Pelakon utama drama Mencintaimu Mr. Photographer itu berkata, dia terpaksa menyelesaikan penggambaran drama tersebut sebelum menyambung niatnya untuk berhijab.

Menerusi video tersebut, Hannah turut mengalirkan air mata ketika bercerita mengenai rezekinya dalam bidang seni selepas dia berhijab.

“Selepas saya mula bertudung, ada tawaran berlakon drama tetapi saya terpaksa beritahu yang imej saya kini berhijab.

“Saya meminta supaya watak tersebut tampil berhijab dan pada mulanya, saya hanya dibenarkan bertudung pada episod ke tiga,” katanya.

Menurut Hannah, pada mulanya dia memang berhasrat untuk menolak tawaran tersebut dan berserah kepada Allah mengenai hal rezeki.

“Alhamdulillah, tiba-tiba produksi beritahu yang saya boleh berlakon dengan memakai hijab bagi sepanjang episod drama itu,” jelasnya.

Bagi Hannah, dia percaya walaupun tampil dengan imej berhijab, rezeki sudah ditentukan oleh Allah dan dia hanya perlu percaya dengan perkara itu. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button